1. Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus.
2. Aku memuji kamu kerana kamu sentiasa mengingat aku dan mengikut ajaran yang aku berikan kepada kamu.
3. Aku mahu kamu memahami hal ini: Kristus ialah kepala setiap orang lelaki; suami ialah kepala isteri dan Allah ialah kepala Kristus.
4. Oleh itu seorang lelaki yang menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, mempermalukan Kristus.
5. Jika seorang wanita tidak menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, dia mempermalukan suaminya. Wanita itu seperti wanita yang kepalanya dicukur.
6. Jika seorang wanita tidak mahu menudung kepalanya, lebih baik dia menggunting rambut. Tetapi amat memalukan jika seorang wanita dicukur kepalanya ataupun digunting rambutnya. Oleh itu lebih baik dia menudung kepalanya.
7. Seorang lelaki tidak perlu menudung kepala, kerana dia mencerminkan rupa dan kemuliaan Allah. Tetapi wanita mencerminkan kemuliaan lelaki,
8. kerana lelaki tidak dijadikan daripada wanita, melainkan wanita dijadikan daripada lelaki.
9. Begitu juga lelaki tidak dijadikan untuk kepentingan wanita, tetapi wanita dijadikan untuk kepentingan lelaki.
10. Oleh itu, kerana malaikat-malaikat, seorang wanita harus menudung kepala sebagai tanda bahawa dia dibenarkan berdoa.
11. Meskipun demikian, dalam kehidupan kita sebagai orang Kristian, wanita bergantung kepada lelaki, dan lelaki pun bergantung kepada wanita.
12. Hal itu demikian kerana meskipun wanita dijadikan daripada lelaki, tetapi selepas itu lelaki dilahirkan oleh wanita; dan segala sesuatu berasal daripada Allah.
13. Baiklah kamu pertimbangkan sendiri: Patutkah seorang wanita berdoa kepada Allah di hadapan orang ramai dengan tidak menudung kepala?
14. Menurut kebiasaan, kamu diajar bahawa lelaki yang berambut panjang bukanlah suatu hal yang patut.
15. Tetapi bagi seorang wanita, rambut panjang yang diberikan kepadanya adalah untuk menutupi kepalanya dan menjadi kebanggaannya.