1 Korintus 1:5-21 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu menjadi kaya dalam segala hal. Pengetahuan kamu tentang segala sesuatu sangat dalam dan kamu pandai memberitakannya.

6. Perkhabaran tentang Kristus sudah meresap ke dalam jiwa kamu,

7. sehingga kamu tidak kekurangan satu berkat pun, sementara kamu menantikan Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali.

8. Kristus sendiri akan meneguhkan kamu sampai pada akhirnya, supaya pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali, kamu didapati tidak bercela.

9. Allah dapat dipercayai. Dialah Allah yang sudah memanggil kamu supaya menjadi satu dengan Anak-Nya, Yesus Kristus, Tuhan kita.

10. Saudara-saudaraku! Dengan kekuasaan Tuhan kita Yesus Kristus, aku menggesa kamu semua supaya seia sekata sehingga tidak ada perpecahan di kalangan kamu. Hendaklah kamu bersatu, sehati dan sejiwa.

11. Aku berkata demikian, kerana beberapa orang daripada keluarga Kloe memberitahu aku bahawa pertengkaran berlaku di kalangan kamu.

12. Inilah yang aku maksudkan: Kamu semua mengatakan hal-hal yang berlainan. Ada yang berkata, “Aku mengikut Paulus”; ada juga yang berkata, “Aku mengikut Apolos”; ada pula yang berkata, “Aku mengikut Petrus”; dan yang lain pula berkata, “Aku mengikut Kristus.”

13. Adakah Kristus terbahagi? Paulus tidak mati pada kayu salib untuk kamu! Kamu pun tidak dibaptis untuk menjadi pengikut Paulus!

14. Aku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak membaptis sesiapa pun di kalangan kamu, kecuali Krispus dan Gayus.

15. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berkata bahawa kamu dibaptis untuk menjadi pengikutku. (

16. Oh ya, aku juga membaptis Stefanus dan keluarganya. Tetapi selain daripada mereka, seingatku aku tidak membaptis orang lain.)

17. Kristus mengutus aku bukan untuk membaptis orang, tetapi untuk mengisytiharkan Berita Baik. Aku mengisytiharkannya tanpa menggunakan kata-kata yang berdasarkan kebijaksanaan manusia, supaya kuasa daripada kematian Kristus pada kayu salib tidak sia-sia.

18. Bagi orang yang menuju kebinasaan, berita tentang kematian Kristus pada kayu salib itu tidak bererti apa-apa. Tetapi bagi kita yang diselamatkan oleh Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan Allah.

19. Di dalam Alkitab tertulis,“Allah berfirman, ‘Kebijaksanaan orang bijak akan Aku musnahkan,dan pengertian orang berilmu akan Aku lenyapkan.’ ”

20. Oleh itu, apakah gunanya orang bijak? Apakah gunanya ahli Taurat? Apakah gunanya orang berilmu? Allah sudah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia ini kebodohan belaka!

21. Kerana Allah bijaksana, Dia menentukan supaya manusia tidak dapat mengenal-Nya melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Sebaliknya Allah menetapkan bahawa Dia menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya melalui perkhabaran kami yang dianggap suatu kebodohan.

1 Korintus 1