5. Tangan-Mu membimbing semua kejadian dahulu, sekarang dan pada masa yang akan datang. Semua itu sudah Kaurancangkan dan semua rancangan-Mu selalu terlaksana.
6. Apa yang Kaurancangkan segera terjadi. Segala tindakan-Mu sudah disiapkan dan keputusan-Mu sudah Kauketahui sebelumnya.
7. Lihatlah, orang Asyur sudah datang dengan penuh kekuatan. Mereka membanggakan pasukan berkuda dan pasukan tentera berjalan kaki mereka serta bergantung kepada senjata mereka. Tapi mereka tak tahu bahawa Engkaulah Tuhan yang menghancurkan alat-alat perang.
8. Engkaulah Tuhan. Dengan kekuasaan-Mu dan dalam kemurkaan-Mu, hancurkanlah tentera mereka yang dahsyat. Mereka berniat untuk mencemarkan Rumah-Mu tempat Engkau tinggal dengan mulia, dan mahu mematahkan tanduk-tanduk mazbah-Mu dengan besi.
9. Lihatlah keangkuhan mereka dan biarlah mereka kena luapan kemurkaan-Mu. Aku ini hanya balu. Berilah aku kekuatan untuk menjalankan rancanganku.
10. Gunakanlah kata-kataku yang mempunyai muslihat untuk memukul mereka semua sehingga mati, baik tuan mahupun hamba. Biarlah kesombongan mereka dipatahkan oleh kekuatan seorang wanita!
11. Kuasa-Mu tak bergantung pada besar kecilnya tentera atau pada kekuatannya. Engkaulah Allah yang memperhatikan orang yang hina dan menolong orang yang kecil. Engkau menopang dan melindungi orang yang lemah dan tak berupaya; Kauselamatkan mereka yang sudah kehilangan harapan.
12. Dengarlah doaku, ya Allah nenek moyangku, Allah pujaan Israel, Penguasa syurga dan bumi, Pencipta sungai dan lautan, Raja segenap ciptaan. Dengarlah doaku dan
13. usahakanlah supaya tipu dayaku melukai dan membunuh semua orang yang telah merancangkan kejahatan yang kejam terhadap perjanjian-Mu dan Rumah-Mu yang suci, terhadap Bukit Sion dan tempat kediaman umat-Mu, pusaka mereka.