Yudit 8:7-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

7. Yudit wanita yang sangat cantik. Suaminya telah meninggalkan emas dan perak, pelayan dan hamba, ternakan dan ladang baginya, dan Yudit tetap tinggal di situ.

8. Tidak seorang pun dapat mengatakan sesuatu yang tidak baik tentang Yudit, oleh sebab dia sangat taat kepada Allah.

9. Yudit mendengar bagaimana orang dengan kerasnya mengecam Uzia, oleh sebab mereka sudah putus asa kerana kekurangan air. Didengarnya juga bahawa Uzia telah berjanji dengan sumpah kepada rakyat bahawa dia akan menyerahkan kota kepada orang Asyur sesudah lima hari.

10. Lalu Yudit mengutus pelayannya yang mengurus segala hartanya untuk menjemput para pemimpin kota, iaitu Uzia, Habris, dan Harmis supaya datang ke rumahnya.

11. Ketika mereka datang, Yudit berkata, “Tuan-tuan pemimpin kota Betulia, mohon dengarkan perkataan saya ini. Tidaklah patut bercakap seperti tadi kepada penduduk kota ini. Tuan-tuan telah bersumpah demi Allah untuk menyerahkan kota ini kepada musuh kita kalau Tuhan tak datang menolong kita dalam waktu lima hari.

12. Kita tak mempunyai hak untuk mencubai Allah seperti yang tuan-tuan lakukan hari ini, dan untuk menempatkan diri lebih tinggi daripada Allah dalam mengurus perkara-perkara manusia.

13. Mana boleh tuan-tuan mahu menguji Tuhan Yang Maha Kuasa! Adakah tuan-tuan belum mengerti juga?

14. Kita tak dapat menyelami dalamnya hati manusia atau mengetahui fikiran orang. Bagaimana mungkin membaca dan memahami fikiran Allah! Mungkinkah kita menyelami Allah Pencipta? Tidak. Jadi jangan lagi bangkitkan kemurkaan Tuhan, Allah kita.

15. Kalau Dia memutuskan untuk tidak menolong kita dalam waktu lima hari, Dia masih dapat menyelamatkan kita bila-bila saja Dia menghendakinya. Atau barangkali Dia mahu membiarkan kita dibinasakan di depan lawan.

16. Tetapi janganlah buat syarat-syarat bagi Tuhan, Allah kita. Apakah tuan-tuan fikir Dia seperti kita sehingga dapat diancam atau dipaksa?

17. Tidak! Sebaliknya, kita harus meminta bantuan Allah dan menunggu dengan sabar sehingga Dia menyelamatkan kita. Kalau Dia berkenan, Dia akan mengabulkan permohonan kita.

18. Tiada satu pun daripada suku atau keluarga kita, bangsa atau penduduk kota kita yang menyembah berhala-berhala buatan manusia seperti yang dilakukan nenek moyang kita.

19. Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka mengalami kekalahan besar; mereka dibunuh dan dirompak habis-habisan oleh musuh.

20. Tapi kerana kita tak menyembah apa-apa yang lain kecuali Tuhan, kita boleh berharap bahawa Dia tak menolak kita atau sesiapa pun daripada bangsa kita.

Yudit 8