Yudit 8:3-11 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. Ketika mengawasi para pekerja di ladang, dia pengsan kena panas matahari, lalu meninggal di tempat tidur di rumahnya di Betulia. Dia dikuburkan di kubur keluarga di ladang antara Dotaim dan Balamon.

4. Sudah tiga tahun empat bulan Yudit hidup sebagai balu.

5. Dia telah mendirikan gubuk di atas bumbung rumahnya dan tinggal di situ. Dia berpakaian kain guni tanda berkabung dan pakaian yang sesuai baginya sebagai balu.

6. Sepanjang masa itu dia berpuasa, kecuali pada hari orang tidak boleh berpuasa, iaitu pada hari Sabat dan hari sebelumnya, pada Perayaan Bulan Baru dan hari sebelumnya, dan pada semua perayaan dan hari besar bangsa Israel.

7. Yudit wanita yang sangat cantik. Suaminya telah meninggalkan emas dan perak, pelayan dan hamba, ternakan dan ladang baginya, dan Yudit tetap tinggal di situ.

8. Tidak seorang pun dapat mengatakan sesuatu yang tidak baik tentang Yudit, oleh sebab dia sangat taat kepada Allah.

9. Yudit mendengar bagaimana orang dengan kerasnya mengecam Uzia, oleh sebab mereka sudah putus asa kerana kekurangan air. Didengarnya juga bahawa Uzia telah berjanji dengan sumpah kepada rakyat bahawa dia akan menyerahkan kota kepada orang Asyur sesudah lima hari.

10. Lalu Yudit mengutus pelayannya yang mengurus segala hartanya untuk menjemput para pemimpin kota, iaitu Uzia, Habris, dan Harmis supaya datang ke rumahnya.

11. Ketika mereka datang, Yudit berkata, “Tuan-tuan pemimpin kota Betulia, mohon dengarkan perkataan saya ini. Tidaklah patut bercakap seperti tadi kepada penduduk kota ini. Tuan-tuan telah bersumpah demi Allah untuk menyerahkan kota ini kepada musuh kita kalau Tuhan tak datang menolong kita dalam waktu lima hari.

Yudit 8