19. Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka mengalami kekalahan besar; mereka dibunuh dan dirompak habis-habisan oleh musuh.
20. Tapi kerana kita tak menyembah apa-apa yang lain kecuali Tuhan, kita boleh berharap bahawa Dia tak menolak kita atau sesiapa pun daripada bangsa kita.
21. Kalau kota kita direbut musuh, seluruh wilayah Yudea akan jatuh dan Rumah Allah kita di Yerusalem akan dijarah. Maka kita harus menanggung pencemaran Rumah Allah itu dengan nyawa kita.
22. Kitalah yang bertanggungjawab kalau saudara-saudara kita dibunuh, bangsa kita ditawan dan tanah pusaka kita dihancurkan. Kita akan dihina dan dicela oleh bangsa-bangsa yang memperhamba kita.
23. Kalau kita diperhamba oleh musuh, kita tak akan dihormati mereka; malahan Allah kita akan membiarkan kita mendapat malu.
24. Oleh sebab itu tuan-tuan, kita harus membuktikan bahawa hidup saudara-saudara kita dan nasib Rumah Allah serta mazbah bergantung kepada kita.
25. Tuhan, Allah kita sedang mencubai kita seperti Dia mencubai nenek moyang kita, dan kita harus berterima kasih kerananya.
26. Ingat saja bagaimana Dia menguji Abraham dan Ishak, dan apa yang terjadi dengan Yakub pada waktu dia menggembalakan domba-domba Laban, bapa saudaranya di Mesopotamia.
27. Allah mencubai mereka untuk menguji kesetiaan mereka. Begitu juga Dia mendera kita yang dekat dengan-Nya untuk memperingatkan kita, dan bukan untuk membalas dendam.”
28. Lalu Uzia berkata kepada Yudit, “Semua yang kaukatakan itu baik dan tak seorang pun dapat membantahnya.
29. Ini bukan pertama kalinya engkau menyatakan kebijaksanaanmu. Sejak masa kecil lagi kami semua tahu bahawa engkau mempunyai pengertian yang tepat dan pertimbangan yang baik.
30. Tapi orang kita hampir mati kehausan. Mereka memaksa kami berjanji begitu dan membuat sumpah yang tak dapat kami batalkan.
31. Jadi sekarang, kerana engkau orang yang sangat taat kepada Tuhan, sudilah mendoakan bangsa kita. Pasti Tuhan menurunkan hujan sehingga tempayan-tempayan kita terisi dan kita tak merana lagi.”
32. “Dengarlah,” jawab Yudit. “Saya akan melakukan sesuatu yang akan diceritakan oleh bangsa kita turun-temurun.
33. Nanti malam tuan-tuan bertiga harus berjaga di pintu gerbang kota supaya saya dan hamba saya dapat meninggalkan kota. Tuan-tuan telah berjanji akan menyerahkan kota ini sesudah lima hari. Tapi sebelum lewat waktu itu, Tuhan akan menggunakan saya untuk menyelamatkan bangsa Israel.
34. Jangan bertanya apa yang akan saya lakukan. Nanti kalau semuanya sudah selesai, akan saya ceritakan.”
35. Uzia dan para pemimpin yang lain berkata kepadanya, “Selamat jalan! Semoga Tuhan, Allah kita menolong engkau menghukum musuh kita.”
36. Lalu mereka meninggalkan gubuk di atas bumbung itu dan kembali ke tempat penjagaan masing-masing.