Yudit 8:14-29 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

14. Kita tak dapat menyelami dalamnya hati manusia atau mengetahui fikiran orang. Bagaimana mungkin membaca dan memahami fikiran Allah! Mungkinkah kita menyelami Allah Pencipta? Tidak. Jadi jangan lagi bangkitkan kemurkaan Tuhan, Allah kita.

15. Kalau Dia memutuskan untuk tidak menolong kita dalam waktu lima hari, Dia masih dapat menyelamatkan kita bila-bila saja Dia menghendakinya. Atau barangkali Dia mahu membiarkan kita dibinasakan di depan lawan.

16. Tetapi janganlah buat syarat-syarat bagi Tuhan, Allah kita. Apakah tuan-tuan fikir Dia seperti kita sehingga dapat diancam atau dipaksa?

17. Tidak! Sebaliknya, kita harus meminta bantuan Allah dan menunggu dengan sabar sehingga Dia menyelamatkan kita. Kalau Dia berkenan, Dia akan mengabulkan permohonan kita.

18. Tiada satu pun daripada suku atau keluarga kita, bangsa atau penduduk kota kita yang menyembah berhala-berhala buatan manusia seperti yang dilakukan nenek moyang kita.

19. Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka mengalami kekalahan besar; mereka dibunuh dan dirompak habis-habisan oleh musuh.

20. Tapi kerana kita tak menyembah apa-apa yang lain kecuali Tuhan, kita boleh berharap bahawa Dia tak menolak kita atau sesiapa pun daripada bangsa kita.

21. Kalau kota kita direbut musuh, seluruh wilayah Yudea akan jatuh dan Rumah Allah kita di Yerusalem akan dijarah. Maka kita harus menanggung pencemaran Rumah Allah itu dengan nyawa kita.

22. Kitalah yang bertanggungjawab kalau saudara-saudara kita dibunuh, bangsa kita ditawan dan tanah pusaka kita dihancurkan. Kita akan dihina dan dicela oleh bangsa-bangsa yang memperhamba kita.

23. Kalau kita diperhamba oleh musuh, kita tak akan dihormati mereka; malahan Allah kita akan membiarkan kita mendapat malu.

24. Oleh sebab itu tuan-tuan, kita harus membuktikan bahawa hidup saudara-saudara kita dan nasib Rumah Allah serta mazbah bergantung kepada kita.

25. Tuhan, Allah kita sedang mencubai kita seperti Dia mencubai nenek moyang kita, dan kita harus berterima kasih kerananya.

26. Ingat saja bagaimana Dia menguji Abraham dan Ishak, dan apa yang terjadi dengan Yakub pada waktu dia menggembalakan domba-domba Laban, bapa saudaranya di Mesopotamia.

27. Allah mencubai mereka untuk menguji kesetiaan mereka. Begitu juga Dia mendera kita yang dekat dengan-Nya untuk memperingatkan kita, dan bukan untuk membalas dendam.”

28. Lalu Uzia berkata kepada Yudit, “Semua yang kaukatakan itu baik dan tak seorang pun dapat membantahnya.

29. Ini bukan pertama kalinya engkau menyatakan kebijaksanaanmu. Sejak masa kecil lagi kami semua tahu bahawa engkau mempunyai pengertian yang tepat dan pertimbangan yang baik.

Yudit 8