1. Keputusan Uzia didengar juga oleh Yudit anak Merari, keturunan Oks, Yusuf, Oziel, Hilkia, Ananias, Gideon, Rafain, Ahitub, Eliya, Hilkia, Eliab, Natanael, Salamiel, Sarasadai, dan Israel.
2. Manasye suami Yudit, berasal daripada kerabat dan suku yang sama dengan isterinya. Manasye meninggal pada suatu musim menuai.
3. Ketika mengawasi para pekerja di ladang, dia pengsan kena panas matahari, lalu meninggal di tempat tidur di rumahnya di Betulia. Dia dikuburkan di kubur keluarga di ladang antara Dotaim dan Balamon.
4. Sudah tiga tahun empat bulan Yudit hidup sebagai balu.
5. Dia telah mendirikan gubuk di atas bumbung rumahnya dan tinggal di situ. Dia berpakaian kain guni tanda berkabung dan pakaian yang sesuai baginya sebagai balu.
6. Sepanjang masa itu dia berpuasa, kecuali pada hari orang tidak boleh berpuasa, iaitu pada hari Sabat dan hari sebelumnya, pada Perayaan Bulan Baru dan hari sebelumnya, dan pada semua perayaan dan hari besar bangsa Israel.