Yudit 6:3-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. Sebaliknya kita, hamba-hamba Raja Nebukadnezar, akan mengalahkan mereka dengan mudah. Seluruh tentera mereka seperti seorang saja untuk kita. Mustahil mereka dapat bertahan terhadap pasukan berkuda kita.

4. Mereka akan kita bakar bersama-sama. Gunung-gunung akan berlumuran darah mereka dan lembah-lembah akan penuh dengan mayat mereka. Mereka tak dapat bertahan terhadap kita dan akan dibinasakan sama sekali. Itulah perintah Raja Nebukadnezar penguasa seluruh bumi, dan perkataan baginda tak ada yang sia-sia.

5. Akhior, kau hanya seorang upahan dari Amon. Dengan mengucapkan kata-kata itu engkau membawa sial atas dirimu. Kau tak akan melihat aku lagi sehingga aku datang untuk menghukum keturunan kaum pelarian dari Mesir itu.

6. Pada waktu aku kembali nanti, kau akan dibunuh oleh askar-askarku, dan mayatmu terbujur di antara orang yang mati.

7. Sekarang kau akan dibawa oleh hamba-hambaku ke pergunungan dan ditinggalkan di salah sebuah kota di lereng gunung.

8. Kau akan mati bersama-sama orang di sana.

9. Semua yang telah kukatakan akan terlaksana. Yakinlah! Kau tak usah cemas, Akhior! Bukankah kau berharap bahawa kota itu tak akan jatuh ke tangan kami?”

10. Kemudian Holofernes menyuruh hamba-hambanya yang bertugas di khemahnya untuk menangkap Akhior, membawanya ke Betulia dan menyerahkan dia kepada orang Israel.

11. Lalu Akhior ditangkap dan dibawa dari perkhemahan itu ke lembah. Dari situ dia dibawa ke pergunungan, sehingga ke mata air yang terletak di bawah kota Betulia.

12. Apabila melihat mereka, penduduk kota di puncak gunung itu mengangkat senjata dan keluar. Setiap orang yang membawa senjata penghumban melempari tentera Holofernes dengan batu, sehingga mereka tidak dapat naik ke atas.

13. Orang Asyur terpaksa berlindung di kaki gunung. Mereka meninggalkan Akhior dalam keadaan terikat di kaki gunung, lalu kembali kepada Holofernes.

14. Kemudian orang Israel turun dari Betulia dan melepaskan Akhior serta membawanya ke kota. Dia dihantar ke hadapan para pemimpin kota,

15. yang pada waktu itu dijawat oleh Uzia anak Mikha daripada suku Simeon, Habris anak Gotoniel, dan Harmis anak Melkhiel.

Yudit 6