1. Ketika teriakan orang ramai di sekeliling sidang itu sudah reda, Holofernes berkata kepada Akhior di hadapan semua penduduk daerah pantai dan orang Moab. Begini katanya,
2. “Akhior, engkau dan askar upahanmu dari Efraim, siapakah engkau ini, sehingga berlagak seperti nabi? Engkau menasihati kami supaya jangan berperang dengan orang Israel, hanya kerana mereka dibela oleh Allah mereka! Tiada Allah selain Raja Nebukadnezar! Baginda akan mengirim tentera baginda dan melenyapkan orang Israel dari muka bumi. Allah mereka tak dapat menolong mereka.
3. Sebaliknya kita, hamba-hamba Raja Nebukadnezar, akan mengalahkan mereka dengan mudah. Seluruh tentera mereka seperti seorang saja untuk kita. Mustahil mereka dapat bertahan terhadap pasukan berkuda kita.
4. Mereka akan kita bakar bersama-sama. Gunung-gunung akan berlumuran darah mereka dan lembah-lembah akan penuh dengan mayat mereka. Mereka tak dapat bertahan terhadap kita dan akan dibinasakan sama sekali. Itulah perintah Raja Nebukadnezar penguasa seluruh bumi, dan perkataan baginda tak ada yang sia-sia.
5. Akhior, kau hanya seorang upahan dari Amon. Dengan mengucapkan kata-kata itu engkau membawa sial atas dirimu. Kau tak akan melihat aku lagi sehingga aku datang untuk menghukum keturunan kaum pelarian dari Mesir itu.
6. Pada waktu aku kembali nanti, kau akan dibunuh oleh askar-askarku, dan mayatmu terbujur di antara orang yang mati.
7. Sekarang kau akan dibawa oleh hamba-hambaku ke pergunungan dan ditinggalkan di salah sebuah kota di lereng gunung.
8. Kau akan mati bersama-sama orang di sana.