Yudit 2:8-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Lembah-lembah akan diisi dengan semua orang mereka yang terluka. Sungai-sungai akan meluap kerana penuh dengan mayat.

9. Orang yang masih hidup akan ditawan dan dibawa ke hujung-hujung bumi.

10. Tetapi engkau, Holofernes, harus mendahului beta dan menduduki semua wilayah mereka. Setelah mereka menyerah, tahanlah mereka sehingga beta datang untuk menghukum mereka.

11. Kalau mereka melawan, jangan kasihani mereka. Bunuhlah mereka dan rampaslah seluruh wilayah mereka,

12. oleh sebab beta sudah bersumpah demi hidup beta dan demi kejayaan kerajaan beta, dan beta bertekad melaksanakannya.

13. Jangan langgar satu pun perintah beta. Ingat, beta ini rajamu. Jadi laksanakanlah dengan segera apa yang beta perintahkan kepadamu!”

14. Lalu Holofernes pergi meninggalkan raja dan mengumpulkan semua pegawai tentera, panglima dan ketua bala tentera Asyur.

15. Sesuai dengan perintah raja, dia memilih 120,000 orang bagi pasukan tentera berjalan kaki dan 12,000 orang bagi pemanah berkuda yang paling baik,

16. dan menyiapkan mereka untuk pertempuran.

17. Dibawanya juga sejumlah besar unta, keldai, dan baghal untuk mengangkut perlengkapan mereka. Selain itu dibawanya sejumlah besar domba, lembu, dan kambing untuk bekalan mereka,

18. serta catuan yang berlimpah bagi setiap askar, dan sangat banyak emas dan perak dari perbendaharaan raja.

Yudit 2