4. Setelah persidangan itu selesai, raja memanggil Holofernes, panglima tingginya, orang kedua selepas raja, dan bertitah kepadanya,
5. “Beta, Raja Nebukadnezar, raja agung dan penguasa seluruh bumi, memerintah kamu untuk pergi membawa askar-askar yang berani sebanyak 120,000 orang bagi pasukan tentera berjalan kaki dan 12,000 orang bagi pasukan berkuda.
6. Majulah berperang melawan seluruh wilayah barat, oleh sebab penduduknya telah melawan perintah beta.
7. Suruhlah mereka menyediakan tanah dan air sebagai tanda bahawa mereka menyerah. Beta akan melampiaskan kemurkaan beta kepada mereka. Beta membiarkan tentera beta menginjak-injak setiap jengkal tanah mereka dan merompak harta kekayaan mereka.
8. Lembah-lembah akan diisi dengan semua orang mereka yang terluka. Sungai-sungai akan meluap kerana penuh dengan mayat.
9. Orang yang masih hidup akan ditawan dan dibawa ke hujung-hujung bumi.
10. Tetapi engkau, Holofernes, harus mendahului beta dan menduduki semua wilayah mereka. Setelah mereka menyerah, tahanlah mereka sehingga beta datang untuk menghukum mereka.
11. Kalau mereka melawan, jangan kasihani mereka. Bunuhlah mereka dan rampaslah seluruh wilayah mereka,
12. oleh sebab beta sudah bersumpah demi hidup beta dan demi kejayaan kerajaan beta, dan beta bertekad melaksanakannya.
13. Jangan langgar satu pun perintah beta. Ingat, beta ini rajamu. Jadi laksanakanlah dengan segera apa yang beta perintahkan kepadamu!”
14. Lalu Holofernes pergi meninggalkan raja dan mengumpulkan semua pegawai tentera, panglima dan ketua bala tentera Asyur.
15. Sesuai dengan perintah raja, dia memilih 120,000 orang bagi pasukan tentera berjalan kaki dan 12,000 orang bagi pemanah berkuda yang paling baik,
16. dan menyiapkan mereka untuk pertempuran.
17. Dibawanya juga sejumlah besar unta, keldai, dan baghal untuk mengangkut perlengkapan mereka. Selain itu dibawanya sejumlah besar domba, lembu, dan kambing untuk bekalan mereka,
18. serta catuan yang berlimpah bagi setiap askar, dan sangat banyak emas dan perak dari perbendaharaan raja.
19. Maka berangkatlah Holofernes bersama-sama seluruh tenteranya mendahului Raja Nebukadnezar. Segala kereta kuda perang, pasukan berkuda, dan pasukan tentera berjalan kaki maju membanjiri seluruh wilayah barat.
20. Sejumlah besar pasukan lain ikut juga. Jumlahnya tidak terhitung seperti kawanan belalang atau butir-butir pasir di pantai.