1. Ketika orang di perkhemahan mendengar kejadian itu, mereka kebingungan
2. dan gementar ketakutan. Dengan hiruk-pikuk mereka meninggalkan perkhemahan dan melarikan diri melalui jalan-jalan di lembah dan di pergunungan.
3. Askar-askar yang berkhemah di pergunungan di sekeliling Betulia juga melarikan diri. Lalu semua askar Israel turun menyerbu orang Asyur.
4. Kemudian Uzia mengirim utusan ke kota-kota Betomastaim, Bebai, Hobai, Kola, dan ke seluruh wilayah Israel untuk mengkhabarkan apa yang telah terjadi kepada semua orang, dan juga untuk mendesak mereka supaya ikut mengejar serta menumpas musuh.
5. Sesudah menerima pesan itu, semua orang Israel menyerang orang Asyur, lalu orang Asyur diserang hingga berundur ke Hoba. Juga penduduk Yerusalem dan orang lain yang tinggal di pergunungan ikut menyerbu setelah mendengar daripada utusan-utusan itu apa yang telah terjadi di perkhemahan Asyur. Penduduk daerah Gilead dan Galilea memberi pukulan hebat kepada orang Asyur dan terus mengejar mereka sehingga di sekitar Damsyik dan wilayahnya.
6. Penduduk Betulia lainnya turun menyerang perkhemahan Asyur dan mendapat banyak harta,
7. dan askar-askar Israel yang kembali daripada pertempuran mengambil sisanya. Harta orang Asyur berlimpah-limpah, sehingga penduduk kampung-kampung dan desa-desa di daerah berbukit juga mendapat bahagian daripada barang rompakan itu.
8. Lalu Imam Agung Yoyakim dan Majlis Ketua-Ketua Sidang Israel datang dari Yerusalem untuk menyaksikan perbuatan besar yang telah dilakukan Tuhan bagi umat-Nya. Mereka juga hendak bertemu dengan Yudit dan mengucapkan selamat kepadanya.
9. Setiba mereka di situ, mereka semua memuji Yudit dengan berkata, “Engkau kemuliaan Yerusalem! Bangsa kita Israel sangat bangga kerana engkau.
10. Seorang diri, engkau telah memperoleh kemenangan ini bagi Israel. Allah Yang Maha Kuasa memperkenankan perbuatanmu. Semoga Dia memberkati engkau seumur hidupmu.”Seluruh rakyat menjawab, “Amin!”
11. Tiga puluh hari lamanya seluruh rakyat merompak perkhemahan orang Asyur. Khemah Holofernes, semua perkakas peraknya, mangkuk-mangkuknya, dipan-dipannya dan segala perabotnya diberikan kepada Yudit. Semua itu diterimanya dan dimuatnya di atas baghalnya. Lalu dipasangnya kereta kuda-kereta kudanya dan dimuatkan juga dengan barang-barang itu.
12. Semua wanita Israel datang mengerumuni Yudit. Mereka menyanyikan pujian baginya dan menari-nari untuk menghormatinya. Yudit mengambil ranting-ranting dan membahagikannya kepada wanita-wanita yang ikut dengannya.
13. Dia dan teman-temannya memakai karangan daun zaitun di kepala. Yudit berjalan di hadapan seluruh rakyat, memimpin wanita-wanita yang sedang menari. Mereka diikuti oleh semua kaum lelaki Israel dengan karangan daun di kepala dan bersenjata lengkap sambil menyanyikan lagu-lagu pujian.
14. Lalu Yudit menyanyikan lagu kesyukuran di hadapan semua orang Israel yang hadir dan seluruh rakyat ikut menyanyikan lagu itu.