Yudit 14:11-19 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. Ketika fajar menyingsing, orang Israel menggantungkan kepala Holofernes di tembok kota. Kaum lelaki Israel mengangkat senjata, lalu pasukan demi pasukan keluar ke lereng gunung.

12. Apabila melihat hal itu, orang Asyur melaporkannya kepada para pegawai, dan mereka melaporkannya pula kepada atasan mereka.

13. Lalu atasan mereka pergi ke khemah Holofernes dan berkata kepada Bagoas, “Bangunkan panglima! Hamba-hamba itu berani turun dari gunung untuk bertempur dengan kita. Rupanya mereka ingin dibinasakan.”

14. Maka masuklah Bagoas dan bertepuk tangan di hadapan tirai khemah Holofernes. Dia menyangka Holofernes sedang tidur bersama Yudit.

15. Oleh sebab tidak ada jawapan, Bagoas membuka tirai dan masuk ke bilik tidur. Didapatinya badan Holofernes terbaring tanpa kepala di lantai.

16. Bagoas menjerit. Dia berteriak, mengoyak pakaiannya dan menangis meraung-raung.

17. Dia masuk ke dalam khemah Yudit, tetapi tidak mendapati wanita itu. Lalu dia lari keluar dan berteriak kepada rakyat,

18. “Kita dikhianati! Seorang wanita Israel telah mendatangkan malu atas seluruh kerajaan Raja Nebukadnezar. Lihatlah, Holofernes rebah di situ dan kepalanya tak ada lagi!”

19. Apabila mendengar hal itu, para pegawai mengoyak pakaian mereka kerana sangat sedih. Di seluruh perkhemahan terdengar teriakan dan jeritan yang sangat kuat.

Yudit 14