4. Tak seorang pun akan berbuat jahat kepadamu. Semua akan memperlakukan engkau dengan baik, seperti mereka memperlakukan hamba-hamba Raja Nebukadnezar.”
5. Lalu Yudit berkata kepada Holofernes, “Izinkanlah saya bercakap dengan tuan, dan sudilah mendengarkan perkataan saya. Saya akan menyampaikan yang sebenarnya kepada tuan.
6. Jika tuan mengikut nasihat saya, maka Allah akan melakukan sesuatu yang hebat bagi tuan dan rancangan tuan tak akan gagal.
7. Saya bersumpah demi Raja Nebukadnezar yang hidup dan perkasa, raja seluruh dunia yang telah mengutus tuan untuk mengurus segala yang hidup. Kerana jasa tuan, bukan manusia saja menjadi hambanya, tapi binatang buas, ternakan dan burung-burung pun hidup untuk Raja Nebukadnezar dan keluarganya.
8. Kami telah mendengar bahawa tuan sangat bijaksana dan pandai. Seluruh dunia tahu bahawa tuan panglima yang paling berpengalaman di seluruh kerajaan, cekap dan sangat dikagumi kerana siasat perang tuan.
9. Akhior yang diselamatkan oleh orang Betulia memberitahu kami apa yang telah dikatakannya dalam persidangan penasihat perang tuan.
10. Kiranya tuan tidak remehkan apa yang dikatakan Akhior, tapi endahkannya, kerana semua itu benar. Tak seorang pun dapat menghukum atau mengalahkan bangsa kami kecuali kalau kami berdosa terhadap Allah kami.
11. Tapi tuan tak akan diserang hingga berundur atau gagal. Bangsa kami pasti akan mati, kerana mereka sudah terjerat dalam dosa. Setiap kali mereka berdosa, mereka membangkitkan kemurkaan Allah.
12. Kerana persediaan makanan mereka habis dan mereka sangat kekurangan air, mereka sudah memutuskan untuk memotong ternakan mereka dan makan makanan yang dilarang oleh Taurat Allah.