Yudit 11:10-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

10. Kiranya tuan tidak remehkan apa yang dikatakan Akhior, tapi endahkannya, kerana semua itu benar. Tak seorang pun dapat menghukum atau mengalahkan bangsa kami kecuali kalau kami berdosa terhadap Allah kami.

11. Tapi tuan tak akan diserang hingga berundur atau gagal. Bangsa kami pasti akan mati, kerana mereka sudah terjerat dalam dosa. Setiap kali mereka berdosa, mereka membangkitkan kemurkaan Allah.

12. Kerana persediaan makanan mereka habis dan mereka sangat kekurangan air, mereka sudah memutuskan untuk memotong ternakan mereka dan makan makanan yang dilarang oleh Taurat Allah.

13. Mereka mahu makan gandum daripada tuaian yang pertama dan sepersepuluh daripada wain dan minyak yang sudah dikhaskan untuk imam-imam yang menyelenggarakan ibadat di Yerusalem. Padahal, kecuali para imam, tak seorang pun boleh makan makanan yang dikhaskan itu, menyentuhnya pun tak boleh.

14. Tetapi orang di Yerusalem juga sudah melanggar perintah Allah. Maka penduduk kota kami telah mengirim utusan kepada Mahkamah Agama di sana untuk meminta izin melakukan hal yang sama.

15. Nanti sesudah mereka mendapat izin dan mereka makan makanan yang sebenarnya terlarang itu, pada hari itu juga mereka akan diserahkan kepada tuan dan tuan dapat membinasakan mereka.

16. Itulah sebabnya saya melarikan diri daripada bangsa saya. Allah mengutus saya ke sini untuk bersama dengan tuan melakukan sesuatu yang membuat semua orang yang mendengarnya menjadi kagum.

17. Ketahuilah tuan, saya ini orang yang taat kepada Allah. Siang dan malam saya menyembah Allah Yang Maha Tinggi. Saya bermaksud tinggal di sini. Setiap malam saya akan pergi ke lembah untuk berdoa kepada Allah. Dia akan memberitahu saya apabila orang Israel sudah berdosa.

18. Segera sesudah saya mengetahuinya, saya akan datang dan menyampaikannya kepada tuan. Maka tuan dapat keluar dengan seluruh tentera tuan dan orang Israel tak akan mengadakan perlawanan terhadap tuan.

19. Tuan akan saya pimpin melalui Yudea sehingga tiba di Yerusalem. Di tengah-tengah kota itu akan saya tempatkan sebuah takhta bagi tuan. Tuan dapat memimpin penduduk Yerusalem seperti kawanan domba yang tak punya gembala. Tak ada anjing seekor pun yang berani menggonggong tuan. Allah sudah menyatakan semuanya itu kepada saya sebelum terjadi, dan Dia mengutus saya untuk menyampaikannya kepada tuan.”

20. Holofernes dan para pembantunya gembira mendengar perkataan Yudit dan mereka mengagumi kebijaksanaannya.

Yudit 11