Yudit 11:1-8 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Holofernes berkata kepada Yudit, “Jangan takut; engkau tak perlu cemas. Aku belum pernah berbuat jahat kepada sesiapa pun yang mahu mengabdi kepada Raja Nebukadnezar, raja seluruh bumi.

2. Sekiranya bangsamu di pergunungan itu tak menghina aku, pasti aku pun tak mahu berperang melawan mereka. Semua persoalan ini disebabkan oleh mereka sendiri.

3. Tapi katakanlah mengapa engkau meninggalkan mereka dan bergabung dengan kami. Memang dengan datang ke sini engkau menyelamatkan dirimu. Tabahkanlah hatimu. Malam ini engkau aman; engkau akan tetap hidup.

4. Tak seorang pun akan berbuat jahat kepadamu. Semua akan memperlakukan engkau dengan baik, seperti mereka memperlakukan hamba-hamba Raja Nebukadnezar.”

5. Lalu Yudit berkata kepada Holofernes, “Izinkanlah saya bercakap dengan tuan, dan sudilah mendengarkan perkataan saya. Saya akan menyampaikan yang sebenarnya kepada tuan.

6. Jika tuan mengikut nasihat saya, maka Allah akan melakukan sesuatu yang hebat bagi tuan dan rancangan tuan tak akan gagal.

7. Saya bersumpah demi Raja Nebukadnezar yang hidup dan perkasa, raja seluruh dunia yang telah mengutus tuan untuk mengurus segala yang hidup. Kerana jasa tuan, bukan manusia saja menjadi hambanya, tapi binatang buas, ternakan dan burung-burung pun hidup untuk Raja Nebukadnezar dan keluarganya.

8. Kami telah mendengar bahawa tuan sangat bijaksana dan pandai. Seluruh dunia tahu bahawa tuan panglima yang paling berpengalaman di seluruh kerajaan, cekap dan sangat dikagumi kerana siasat perang tuan.

Yudit 11