Yudit 10:12-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Yudit ditahan dan ditanya oleh mereka, “Kamu bangsa apa? Dari mana dan mahu ke mana?”“Saya orang Ibrani,” jawabnya, “tapi saya lari daripada bangsa saya kerana Allah akan membiarkan kamu membinasakan mereka.

13. Sekarang saya ingin menghadap Holofernes, panglima tinggi tentera kamu, untuk menyampaikan keterangan penting. Saya dapat menunjukkannya jalan yang harus ditempuh supaya dapat menguasai seluruh daerah ini tanpa kehilangan seorang pun daripada anak buahnya.”

14. Orang di situ terpukau melihat kecantikan Yudit. Setelah mendengar ceritanya, mereka berkata,

15. “Kamu selamat kerana segera datang ke sini untuk menemui panglima kami. Sila pergi ke khemahnya sekarang juga. Beberapa orang kami akan mengawal dan menyerahkan kamu kepada panglima.

16. Kamu tak perlu takut apabila menghadapnya. Katakan saja kepadanya apa yang telah kamu katakan kepada kami. Pasti kamu akan diperlakukan dengan baik.”

17. Lalu mereka memilih seratus orang untuk mengawal Yudit dan hamba perempuannya ke khemah Holofernes.

18. Berita tentang kedatangan Yudit disiarkan dari khemah ke khemah, lalu dari seluruh perkhemahan Asyur, orang datang berkerumun. Sementara Yudit menunggu di luar khemah Holofernes sehingga dipersilakan masuk, dia dikerumuni banyak askar Asyur.

19. Mereka tercengang melihat kecantikannya dan berfikir-fikir bagaimana rupa orang bangsa Israel itu. “Siapakah dapat menghina bangsa yang mempunyai wanita-wanita yang begitu cantik?” tanya mereka satu sama lain. “Lebih baik kita bunuh semua lelakinya; kalau tidak, orang Yahudi akan memperdayakan seluruh dunia.”

20. Kemudian keluarlah beberapa orang pengawal peribadi Holofernes dan hamba-hambanya dan mereka menghantar Yudit masuk ke dalam khemah.

21. Holofernes sedang berbaring di tempat tidurnya di bawah kelambu yang ditenun daripada benang ungu dan benang emas serta dihias dengan zamrud dan batu-batu berharga.

22. Ketika diberitahukan tentang Yudit, Holofernes bangkit dan pergi ke bahagian hadapan khemahnya, didahului oleh hamba-hamba yang membawa pelita daripada perak.

Yudit 10