11. Demikianlah Yosua menyuruh kumpulan orang itu mengelilingi kota itu satu kali dengan menggotong Tabut Perjanjian TUHAN, lalu mereka kembali ke perkhemahan dan bermalam di situ.
12-13. Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi, dan untuk kali kedua para imam dan askar mengelilingi kota itu mengikut susunan pada hari sebelumnya: mula-mula, pengawal depan; kemudian tujuh orang imam yang meniup trompet; lalu para imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN; dan akhir sekali pengawal belakang. Sepanjang masa itu trompet dibunyikan.
14. Pada hari kedua itu, mereka berarak mengelilingi kota itu satu kali lagi, lalu kembali ke perkhemahan. Mereka berbuat demikian selama enam hari.
15. Pada hari ketujuh, mereka bangun ketika fajar. Mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali dengan cara yang sama. Hanya pada hari itu, mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali.
16. Pada kali ketujuh, apabila imam-imam itu hendak meniup trompet, Yosua memerintahkan orangnya berteriak, dan dia berkata, “TUHAN sudah menyerahkan kota ini kepada kamu!
17. Kota itu dengan segala sesuatu di situ harus dimusnahkan sama sekali sebagai persembahan kepada TUHAN. Hanya Rahab, pelacur perempuan itu dan kaum keluarganya yang akan diselamatkan, kerana dia telah menyembunyikan pengintip-pengintip kita.
18. Kamu tidak boleh mengambil apa pun yang mesti dimusnahkan. Jika kamu mengambilnya juga, kamu akan mendatangkan kesusahan dan kebinasaan kepada perkhemahan Israel.
19. Segala benda yang dibuat daripada perak, emas, gangsa, atau besi harus diasingkan untuk TUHAN. Barang-barang itu harus dibawa ke perbendaharaan TUHAN.”
20. Lalu imam-imam meniup trompet. Sebaik sahaja askar-askar mendengarnya, mereka berteriak dengan kuat, dan tembok kota Yerikho pun roboh. Kemudian seluruh angkatan tentera terus naik ke kota itu, lalu menyerang dan merebutnya.
21. Dengan pedang, mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua. Mereka juga membunuh lembu, domba, dan keldai.
22. Yosua berkata kepada dua orang yang dahulu bertugas sebagai pengintip, “Pergilah ke rumah pelacur perempuan itu, lalu bawalah dia dan keluarganya keluar seperti yang kamu janjikan kepadanya.”
23. Oleh itu mereka pergi membawa Rahab keluar bersama-sama ibu bapa, saudara-saudara, dan semua anggota keluarganya. Mereka menyelamatkan semua orang itu, kaum keluarga Rahab mahupun hamba-hambanya, lalu membawa mereka ke tempat yang selamat, berhampiran dengan perkhemahan Israel.
24. Kemudian mereka membakar kota itu dan semua yang ada di situ sampai musnah, kecuali barang-barang yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, dan besi. Mereka mengambil semua benda itu lalu membawanya ke perbendaharaan TUHAN.
25. Tetapi Yosua menyelamatkan Rahab, pelacur perempuan itu dan semua kaum keluarganya kerana dia telah menyembunyikan dua orang pengintip yang disuruh Yosua ke kota Yerikho. (Keturunan Rahab tinggal di negeri Israel sampai hari ini.)