28. Yosua menyerang kota Makeda lalu merebutnya pada hari itu. Dia membunuh rajanya dan semua orang di kota itu. Tiada seorang pun yang tertinggal, semuanya dibunuh. Yosua memperlakukan raja kota Makeda seperti dia memperlakukan raja kota Yerikho.
29. Selepas itu Yosua dan tenteranya berangkat dari Makeda lalu pergi ke Libna. Mereka menyerang kota Libna.
30. TUHAN juga memberi umat Israel kemenangan atas kota itu dan rajanya. Mereka tidak membiarkan sesiapa pun hidup. Mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu. Mereka memperlakukan raja itu seperti mereka memperlakukan raja kota Yerikho.
31. Dari Libna, Yosua dan tenteranya berangkat ke Lakhis. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya.
32. Pada hari kedua pertempuran itu, TUHAN memberi mereka kemenangan atas kota itu. Mereka tidak membiarkan seorang pun hidup di Lakhis. Seperti yang dilakukan mereka di Libna, mereka membunuh semua orang di kota itu.
33. Raja Horam dari kota Gezer datang untuk menolong Lakhis tetapi Yosua mengalahkan raja dan tenteranya, dan tiada seorang pun dibiarkan hidup. Semuanya dibunuh.
34. Dari Lakhis, Yosua dan tenteranya berangkat pula ke Eglon. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya.
35. Mereka merebut kota itu pada hari itu juga dan membunuh semua orang di situ, seperti yang dilakukan mereka di Lakhis.
36. Dari Eglon, Yosua dan tenteranya berangkat pula ke Hebron, di kawasan perbukitan. Mereka menyerang
37. dan merebut kota itu. Mereka membunuh rajanya serta setiap orang di kota itu dan di kota-kota sekitarnya. Yosua memusnahkan kota itu sama sekali, sebagaimana yang dilakukannya terhadap kota Eglon. Tiada seorang pun dibiarkan hidup.
38. Kemudian Yosua dan tenteranya kembali ke Debir dan menyerang kota itu.
39. Dia merebut kota itu dengan rajanya dan semua kota lain yang di sekitarnya. Mereka membunuh tiap-tiap orang di situ. Yosua memperlakukan Debir dan rajanya seperti dia memperlakukan kota Hebron dan Libna, serta raja-raja di sana.
40. Yosua menakluki seluruh tanah itu. Dia mengalahkan raja-raja di kawasan perbukitan, lereng-lereng bukit di sebelah timur, kaki-kaki bukit di sebelah barat dan juga tanah-tanah kering di sebelah selatan. Dia tidak membiarkan seorang pun hidup; dia membunuh tiap-tiap orang. Itulah perintah TUHAN, Allah Israel.
41. Yosua mengalahkan daerah-daerah dari Kades-Barnea di selatan sampai ke Gaza dekat pantai, termasuk seluruh daerah Gosyen, sampai ke Gibeon di utara.