Yohanes 9:16-31 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

16. Beberapa orang Farisi itu berkata, “Orang yang melakukan hal ini tidak mungkin berasal daripada Allah, kerana Dia tidak mentaati peraturan hari Sabat.”Yang lain berkata, “Bagaimanakah seorang berdosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?” Lalu timbullah pertentangan pendapat di kalangan mereka.

17. Oleh itu orang Farisi di situ bertanya lagi kepadanya, “Kamu berkata dia mencelikkan matamu. Baiklah, apakah pendapatmu tentang dia?”“Dia nabi,” jawabnya.

18. Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya,

19. lalu bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?”

20. Ibu bapanya menjawab, “Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir.

21. Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.”

22. Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat.

23. Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.”

24. Sekali lagi mereka memanggil orang yang dahulunya buta dan berkata kepadanya, “Mengakulah di hadapan Allah! Kami tahu bahawa orang yang menyembuhkan kamu itu orang berdosa.”

25. Orang itu menjawab, “Sama ada dia berdosa atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat.”

26. Mereka bertanya lagi, “Apa yang dilakukannya kepadamu? Bagaimanakah dia mencelikkan matamu?”

27. Orang itu menjawab, “Hal itu sudah saya jelaskan kepada tuan-tuan, tetapi tuan-tuan tidak mahu mendengarnya. Mengapakah tuan-tuan mahu mendengarnya lagi? Adakah tuan-tuan pun mahu menjadi pengikutnya?”

28. Mereka mencaci dia dan berkata, “Kamu pengikut dia; kami pengikut Musa.

29. Kami tahu bahawa Allah berfirman kepada Musa, tetapi tentang orang itu kami tidak tahu dari mana asalnya.”

30. Orang itu berkata, “Sungguh menghairankan! Tuan-tuan tidak mengetahui asalnya, namun dia sudah mencelikkan mata saya!

31. Kita tahu bahawa Allah tidak mendengarkan permintaan orang berdosa. Allah hanya mendengarkan permintaan orang yang menghormati Dia dan melakukan kehendak-Nya.

Yohanes 9