Yohanes 8:44-57 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

44. Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta.

45. Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku.

46. Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?

47. Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.”

48. Orang Yahudi di situ berkata, “Memang betul apa yang kami katakan; kamu orang Samaria yang dirasuk syaitan.”

49. Yesus berkata, “Aku tidak dirasuk syaitan. Aku menghormati Bapa-Ku, tetapi kamu menghina Aku.

50. Aku tidak mencari kehormatan bagi diri-Ku sendiri. Tetapi ada satu yang menghendaki supaya Aku dihormati dan Dia akan menghakimi dengan adil.

51. Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.”

52. Orang Yahudi di situ berkata kepada Yesus, “Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk syaitan! Abraham sudah mati; begitu juga semua nabi. Tetapi kamu berkata, ‘Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.’

53. Abraham bapa kami sudah mati. Adakah kamu lebih besar daripada Abraham? Begitu juga semua nabi sudah mati. Pada sangkamu siapakah kamu ini?”

54. Yesus menjawab, “Jika Aku mencari kehormatan untuk diri-Ku sendiri, kehormatan itu tidak berguna. Yang menghormati Aku ialah Bapa-Ku yang kamu anggap sebagai Allah kamu.

55. Kamu tidak mengenal Dia, tetapi Aku mengenal Dia. Jika Aku berkata Aku tidak mengenal Dia, Aku pendusta seperti kamu. Aku mengenal Dia dan Aku mentaati firman-Nya.

56. Bapa kamu Abraham bersukacita kerana akan melihat masa kedatangan-Ku. Dia sudah melihatnya dan dia bergembira.”

57. Mereka berkata kepada Yesus, “Umurmu belum lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?”

Yohanes 8