27. Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa.
28. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku.
29. Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.”
30. Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya.
31. Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku.
32. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.”
33. Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, ‘Kamu akan bebas?’ ”
34. Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa.
35. Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga.
36. Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas.
37. Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku.
38. Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.”