Yohanes 8:26-41 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

26. Masih banyak perkara tentang kamu yang perlu Aku katakan dan adili. Tetapi Dia yang mengutus Aku dapat dipercayai. Lagi pun Aku memberitahu dunia apa yang Aku dengar daripada Dia.”

27. Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa.

28. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku.

29. Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.”

30. Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya.

31. Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku.

32. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.”

33. Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, ‘Kamu akan bebas?’ ”

34. Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa.

35. Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga.

36. Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas.

37. Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku.

38. Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.”

39. Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.”Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham.

40. Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian!

41. Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.”Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.”

Yohanes 8