14. Yesus menjawab, “Meskipun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu tidak tahu dari mana Aku datang atau ke mana Aku pergi.
15. Kamu menghakimi orang menurut cara manusia; Aku tidak menghakimi sesiapa pun.
16. Tetapi seandainya Aku menghakimi orang, keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak melakukannya seorang diri; Bapa yang mengutus Aku bersama-sama Aku.
17. Di dalam Taurat kamu tertulis: Apabila dua orang saksi memberikan kesaksian yang sama, maka kesaksian mereka benar.
18. Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, dan Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku.”
19. “Bapamu itu di mana?” tanya mereka.Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal Aku ataupun Bapa-Ku. Jika kamu mengenal Aku, kamu pasti mengenal Bapa-Ku juga.”
20. Yesus mengatakan semua ini semasa Dia mengajar di Rumah Tuhan, dekat peti wang persembahan. Tetapi tidak seorang pun menangkap Dia, kerana saat-Nya belum tiba.
21. Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari Aku, tetapi kamu akan mati dalam dosa kamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.”
22. Para penguasa Yahudi berkata, “Barangkali dia mahu membunuh diri, kerana dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’ ”
23. Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah, tetapi Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia.
24. Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU.’ ”
25. “Kamu siapa sebenarnya?” tanya mereka.Yesus menjawab, “Untuk apa berkata-kata lagi dengan kamu.
26. Masih banyak perkara tentang kamu yang perlu Aku katakan dan adili. Tetapi Dia yang mengutus Aku dapat dipercayai. Lagi pun Aku memberitahu dunia apa yang Aku dengar daripada Dia.”
27. Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa.
28. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku.
29. Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.”