Yohanes 7:5-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Saudara-saudara-Nya sendiri pun tidak percaya kepada-Nya.)

6. Yesus berkata kepada mereka, “Saat-Ku belum tiba. Saat kamu bila-bila sahaja.

7. Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu. Tetapi dunia ini membenci Aku, kerana Aku sentiasa berkata kepada dunia bahawa perbuatannya jahat.

8. Pergilah ke perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum tiba.”

9. Demikianlah kata Yesus, lalu Dia tinggal di Galilea.

10. Setelah saudara-saudara-Nya pergi ke perayaan itu, Yesus pun pergi. Tetapi Dia tidak pergi secara terang-terangan, melainkan secara diam-diam.

11. Para penguasa Yahudi mencari Dia semasa perayaan itu. “Di manakah dia?” tanya mereka.

12. Orang ramai berbisik-bisik tentang Dia. Beberapa orang berkata, “Dia orang baik.” Yang lain berkata, “Tidak! Dia menyesatkan orang!”

13. Tetapi tidak seorang pun berani bercakap secara terang-terangan tentang Yesus, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi.

14. Pada pertengahan masa perayaan itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan, lalu mula mengajar.

15. Para penguasa Yahudi hairan sekali lalu berkata, “Bagaimanakah orang ini dapat mengetahui sebanyak ini, padahal dia tidak pernah dilatih untuk menjadi guru Taurat?”

16. Yesus menjawab, “Yang Aku ajarkan ini bukan ajaran-Ku, melainkan ajaran Dia yang mengutus Aku.

17. Orang yang mahu melakukan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran-Ku datangnya daripada Allah atau daripada Aku sendiri.

Yohanes 7