9. Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan.Hal ini berlaku pada hari Sabat.
10. Oleh itu para penguasa Yahudi berkata kepada orang yang baru disembuhkan itu, “Hari ini hari Sabat; kamu melanggar Taurat kita kerana mengangkat tikar.”
11. Tetapi orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkan saya tadi menyuruh saya mengangkat tikar dan berjalan.”
12. Mereka bertanya, “Siapakah orang yang menyuruh kamu mengangkat tikar dan berjalan?”
13. Orang yang baru disembuhkan itu tidak tahu siapa orang itu, kerana Yesus sudah menghilang antara orang ramai di tempat itu.
14. Tidak lama kemudian, Yesus berjumpa dengan dia di dalam Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi, supaya kamu tidak ditimpa perkara yang lebih dahsyat.”
15. Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia.
16. Oleh itu, mereka mula memusuhi Yesus, kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat.
17. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.”
18. Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah.
19. Yesus menjawab mereka, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak.
20. Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan.