Yohanes 5:27-40 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

27. Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia.

28. Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya,

29. lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.”

30. “Aku tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Ku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku.

31. Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian itu tidak dapat diterima sebagai bukti yang benar.

32. Tetapi Bapa memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian-Nya benar.

33. Kamu mengirim utusan kepada Yohanes, dan Yohanes sudah memberikan kesaksian yang benar tentang diri-Ku.

34. Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian daripada manusia, tetapi Aku berkata demikian supaya kamu boleh diselamatkan.

35. Yohanes bagaikan pelita yang menyala dan bersinar. Untuk sementara waktu kamu menikmati cahayanya dan kamu bersukacita.

36. Tetapi kesaksian daripada perbuatan-Ku lebih penting daripada kesaksian Yohanes. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan semua itu membuktikan bahawa Bapa sudah mengutus Aku.

37. Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Kamu belum pernah mendengar suara-Nya atau melihat muka-Nya.

38. Kamu tidak percaya kepada firman-Nya, kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus-Nya.

39. Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku.

40. Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku supaya beroleh hidup sejati.

Yohanes 5