17. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.”
18. Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah.
19. Yesus menjawab mereka, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak.
20. Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan.
21. Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya.
22. Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada Anak-Nya.
23. Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak, juga tidak menghormati Bapa yang mengutus Anak.
24. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup.
25. Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup.
26. Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga.