Yohanes 20:5-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur.

6. Simon Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ,

7. dan juga kain yang diikatkan pada kepala Yesus. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri.

8. Kemudian pengikut lain itu yang lebih dahulu tiba di kubur, juga masuk. Dia melihat semuanya dan percaya. (

9. Meskipun demikian mereka masih belum memahami apa yang tertulis di dalam Alkitab bahawa Dia harus bangkit daripada kematian.)

10. Kemudian pengikut-pengikut Yesus itu pulang.

11. Maria berdiri sambil menangis di hadapan kubur. Sambil menangis dia menjenguk ke dalam kubur itu.

12. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih, duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat pada sebelah kepala dan satu lagi pada sebelah kaki.

13. Malaikat-malaikat ini bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis?”Maria menjawab, “Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!”

14. Setelah berkata demikian, Maria berpaling dan nampak Yesus berdiri di situ. Tetapi Maria tidak tahu bahawa Dia Yesus.

15. Yesus bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?”Maria menyangka Dia itu tukang kebun. Oleh itu Maria berkata, “Tuan, jika tuan sudah memindahkan jenazah Yesus, beritahulah saya tempat tuan meletakkan jenazah-Nya, supaya saya boleh pergi mengambil jenazah-Nya.”

16. Yesus berkata kepadanya, “Maria!”Maria berpaling kepada Yesus lalu berkata dalam bahasa Ibrani, “Rabbuni!” (yang bererti “guru”).

Yohanes 20