Yohanes 19:18-32 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

18. Di situ Dia disalibkan. Dua orang lain juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kiri, seorang di sebelah kanan dan Yesus di tengah.

19. Pilatus menyuruh orang memasang papan kenyataan pada kayu salib Yesus. Papan kenyataan itu bertulis: “Yesus dari Nasaret, Raja Orang Yahudi”.

20. Banyak orang Yahudi membacanya kerana tempat Yesus disalibkan itu tidak jauh dari bandar. Tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani.

21. Ketua-ketua imam berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis, ‘Raja Orang Yahudi’, melainkan tulislah: ‘Orang ini berkata, Aku Raja Orang Yahudi.’ ”

22. Tetapi Pilatus menjawab, “Apa yang sudah aku tulis tidak boleh diubah!”

23. Setelah askar-askar itu menyalibkan Yesus, mereka mengambil pakaian-Nya lalu membahaginya menjadi empat bahagian; dan masing-masing mendapat sebahagian. Mereka juga mengambil jubah-Nya yang dibuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan.

24. Askar-askar bercakap sesama sendiri, “Janganlah koyak jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan orang yang boleh mendapatnya.” Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi,“Mereka membahagi-bahagi pakaian-Ku,dan membuang undi bagi jubah-Ku.”Demikianlah yang dilakukan oleh askar-askar itu.

25. Ibu Yesus, saudara perempuan ibunya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena berdiri dekat salib itu.

26. Yesus nampak ibu-Nya dan pengikut yang dikasihi-Nya berdiri di situ. Oleh itu Yesus berkata kepada ibu-Nya, “Puan, dia anak puan.”

27. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut itu, “Dia ibumu.” Sejak itu, ibu Yesus tinggal di rumah pengikut itu.

28. Yesus tahu bahawa sekarang semuanya sudah selesai, dan supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku, Dia berkata, “Aku dahaga.”

29. Di situ ada sebuah mangkuk yang penuh dengan wain murah. Sebuah bunga karang dicelupkan ke dalam wain itu, lalu dicucukkan pada hujung batang hisop, dan kemudian dihulurkan ke mulut Yesus.

30. Yesus mengecapnya lalu berkata, “Sudah selesai!”Setelah itu Dia menundukkan kepala dan meninggal.

31. Hari itu sehari sebelum hari Sabat. Para penguasa Yahudi tidak mahu mayat orang yang disalibkan masih di kayu salib pada hari Sabat, apalagi hari Sabat kali ini hari perayaan yang khas. Oleh itu mereka meminta kebenaran Pilatus untuk mematahkan kaki orang yang disalibkan dan menurunkan mayat-mayat itu dari kayu salib.

32. Oleh itu askar-askar pergi mematahkan kaki kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus.

Yohanes 19