Yohanes 19:15-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

15. Mereka berseru, “Bunuh dia! Bunuh dia! Salibkan dia!”“Kamu mahu aku menyalib raja kamu?” tanya Pilatus.Ketua-ketua imam menjawab, “Kaisar satu-satunya raja kami!”

16. Kemudian Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalibkan. Mereka mengambil Yesus dan membawa Dia pergi.

17. Sambil memikul salib-Nya, Yesus pergi ke luar bandar ke tempat yang bernama “Tempat Tengkorak.” (Dalam bahasa Ibrani tempat itu disebut “Golgota”.)

18. Di situ Dia disalibkan. Dua orang lain juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kiri, seorang di sebelah kanan dan Yesus di tengah.

19. Pilatus menyuruh orang memasang papan kenyataan pada kayu salib Yesus. Papan kenyataan itu bertulis: “Yesus dari Nasaret, Raja Orang Yahudi”.

20. Banyak orang Yahudi membacanya kerana tempat Yesus disalibkan itu tidak jauh dari bandar. Tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani.

21. Ketua-ketua imam berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis, ‘Raja Orang Yahudi’, melainkan tulislah: ‘Orang ini berkata, Aku Raja Orang Yahudi.’ ”

22. Tetapi Pilatus menjawab, “Apa yang sudah aku tulis tidak boleh diubah!”

Yohanes 19