1. Setelah Yesus berdoa demikian, Dia pergi dengan pengikut-pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di situ Yesus dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke sebuah taman.
2. Yudas, pengkhianat itu, mengetahui tempat itu, kerana telah banyak kali Yesus berkumpul dengan pengikut-pengikut-Nya di situ.
3. Oleh itu Yudas pergi ke tempat itu sambil membawa sepasukan askar Roma dan beberapa orang pengawal Rumah Tuhan yang disuruh oleh ketua-ketua imam dan orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh.
4. Yesus mengetahui semua yang akan berlaku terhadap diri-Nya. Oleh itu Dia menghampiri mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?”
5. Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.”Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.”Yudas, pengkhianat itu, berdiri dengan mereka di situ.
6. Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah.
7. Sekali lagi Yesus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?”Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.”