Yohanes 11:4-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

4. Apabila Yesus mendengar khabar itu, Dia berkata, “Penyakit ini tidak akan menyebabkan kematian Lazarus; hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Melalui hal ini Anak Allah akan dimuliakan.”

5. Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus.

6. Tetapi ketika Yesus menerima khabar bahawa Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.

7. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita balik ke Yudea.”

8. Pengikut-pengikut-Nya menjawab, “Guru, baru sahaja orang Yahudi di situ hendak merejam Guru, dan sekarang Guru mahu balik lagi ke sana?”

9. Yesus berkata, “Bukankah siang hari lamanya dua belas jam? Sesiapa yang berjalan pada siang hari, tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya bagi dunia ini.

10. Tetapi jika orang itu berjalan pada malam hari, dia tersandung kerana tiada cahaya padanya.”

11. Setelah berkata demikian, Yesus melanjutkan pula, “Sahabat kita Lazarus sudah tidur, tetapi Aku akan pergi membangunkan dia.”

12. Pengikut-pengikut Yesus berkata, “Guru, jika Lazarus tidur, dia akan sembuh.”

13. Sebenarnya inilah yang dimaksudkan Yesus: Lazarus sudah meninggal. Tetapi mereka menyangka bahawa Yesus berkata Lazarus benar-benar tidur.

14. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka dengan terus terang, “Lazarus sudah meninggal.

15. Tetapi demi kebaikan kamu, Aku bersyukur kerana Aku tidak bersama-sama dia, supaya kamu boleh percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepada Lazarus.”

16. Tomas yang disebut Si Kembar berkata kepada sesama pengikut Yesus, “Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-sama-Nya!”

Yohanes 11