37. Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, “Dia dapat membuat orang buta melihat. Mengapa dia tidak dapat mencegah kematian Lazarus?”
38. Yesus sangat terharu lagi, lalu Dia pergi ke kubur. Kubur itu sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu besar.
39. Lalu Yesus berkata, “Tepikan batu ini.”Tetapi Marta, saudara orang yang meninggal itu menjawab, “Tuhan, sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!”
40. Yesus berkata kepada Marta, “Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?”
41. Mereka mengetepikan batu itu, lalu Yesus menengadah ke langit dan berkata, “Aku bersyukur kepada-Mu, ya Bapa, kerana Engkau mendengar permintaan-Ku.
42. Aku tahu bahawa Engkau sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku berkata demikian untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya bahawa Engkaulah yang mengutus Aku.”
43. Setelah Yesus berkata demikian, Dia berseru dengan suara kuat, “Lazarus, keluar!”
44. Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain kafan dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.”
45. Banyak orang Yahudi yang datang melawat Maria, melihat apa yang dilakukan oleh Yesus, lalu mereka percaya kepada Yesus.
46. Tetapi beberapa orang antara mereka balik kepada orang Farisi, lalu melaporkan apa yang telah dilakukan oleh Yesus.
47. Oleh itu, orang Farisi dan ketua-ketua imam mengadakan mesyuarat dengan Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang harus kita lakukan? Lihatlah, orang ini melakukan banyak mukjizat!
48. Jika kita biarkan Dia terus berbuat demikian, semua orang akan percaya kepada-Nya. Akhirnya penguasa Roma akan datang lalu menghancurkan Rumah Tuhan dan bangsa kita!”
49. Seorang daripada mereka bernama Kayafas, Imam Agung pada tahun itu. Dia berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa.
50. Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?”
51. Sebenarnya dia tidak mengatakan hal ini menurut fikirannya sendiri. Tetapi sebagai Imam Agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk orang Yahudi.