Yohanes 11:10-27 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

10. Tetapi jika orang itu berjalan pada malam hari, dia tersandung kerana tiada cahaya padanya.”

11. Setelah berkata demikian, Yesus melanjutkan pula, “Sahabat kita Lazarus sudah tidur, tetapi Aku akan pergi membangunkan dia.”

12. Pengikut-pengikut Yesus berkata, “Guru, jika Lazarus tidur, dia akan sembuh.”

13. Sebenarnya inilah yang dimaksudkan Yesus: Lazarus sudah meninggal. Tetapi mereka menyangka bahawa Yesus berkata Lazarus benar-benar tidur.

14. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka dengan terus terang, “Lazarus sudah meninggal.

15. Tetapi demi kebaikan kamu, Aku bersyukur kerana Aku tidak bersama-sama dia, supaya kamu boleh percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepada Lazarus.”

16. Tomas yang disebut Si Kembar berkata kepada sesama pengikut Yesus, “Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-sama-Nya!”

17. Apabila Yesus tiba di tempat itu, Dia mendapati Lazarus sudah dikubur selama empat hari.

18. Betania letaknya kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem.

19. Oleh itu banyak orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk menghibur mereka kerana kematian Lazarus.

20. Apabila Marta mendengar seseorang berkata bahawa Yesus datang, dia pun keluar untuk menjumpai Yesus, tetapi Maria tinggal di rumah.

21. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!

22. Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta.”

23. Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.”

24. Marta menjawab, “Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat.”

25. Yesus berkata kepada Marta, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.

26. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?”

27. “Ya Tuhan,” jawab Marta, “aku percaya bahawa Tuhan Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan yang dijanjikan untuk datang ke dunia ini.”

Yohanes 11