12. Seorang upahan yang bukan gembala dan bukan pemilik domba, akan lari meninggalkan kawanan domba manakala dia melihat serigala datang. Oleh itu kawanan domba akan diterkam dan dicerai-beraikan oleh serigala.
13. Orang upahan itu lari kerana dia bekerja untuk mendapat upah. Dia tidak mempedulikan domba-domba itu.
14-15. Akulah gembala yang baik. Sebagaimana Bapa mengenal Aku dan Aku mengenal Bapa, begitu juga Aku mengenal domba-domba-Ku dan mereka pun mengenal Aku. Aku mengorbankan nyawa untuk mereka.
16. Masih ada domba-domba lain yang juga milik-Ku, tetapi tidak termasuk dalam kawanan ini. Aku juga harus memimpin mereka dan mereka akan mendengarkan suara-Ku. Mereka semuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.
17. Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali.
18. Tidak seorang pun dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan Aku berhak mendapatnya kembali. Inilah tugas yang Aku terima daripada Bapa-Ku.”
19. Kata-kata Yesus menyebabkan orang Yahudi mula bertengkar lagi.
20. Ramai di kalangan mereka yang berkata, “Dia dirasuk syaitan! Dia gila! Mengapakah kamu mendengarkan dia?”
21. Tetapi yang lain berkata, “Seorang yang dirasuk syaitan tidak mungkin berkata-kata demikian! Bagaimanakah syaitan dapat mencelikkan mata orang buta?”
22. Di Yerusalem orang sedang merayakan Perayaan Pentahbisan Rumah Tuhan. Masa itu musim sejuk.
23. Yesus sedang berjalan di Serambi Salomo di dalam Rumah Tuhan.
24. Oleh itu orang Yahudi datang berkumpul di sekeliling Yesus. Mereka bertanya, “Berapa lamakah guru mahu membiarkan kami ragu-ragu? Katakanlah dengan terus terang. Adakah guru Penyelamat yang diutus oleh Allah?”
25. Yesus menjawab, “Aku sudah memberitahu kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Perbuatan yang Aku lakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang Aku.
26. Kamu tidak mahu percaya kerana kamu bukan domba-domba-Ku.
27. Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku.
28. Aku memberi mereka hidup sejati dan kekal, dan mereka tidak akan binasa. Tidak seorang pun dapat merampas mereka dari tangan-Ku.
29. Apa yang diberikan oleh Bapa-Ku kepada-Ku lebih besar daripada segala-galanya. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa.
30. Bapa dan Aku satu.”