Yesaya 66:14-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

14. Apabila kamu melihat kejadian itu, kamu akan bersukacita. Kamu akan berkembang subur seperti rumput. Barulah kamu tahu bahawa Aku, TUHAN menolong orang yang taat kepada-Ku, dan Aku menunjukkan kemurkaan terhadap musuh-Ku.”

15. TUHAN akan datang dengan api. Dia akan datang dengan mengenderai angin ribut untuk menghukum orang yang dimurkai-Nya.

16. Dengan api dan pedang, Dia akan menghukum semua orang di dunia yang didapati-Nya bersalah; banyak orang akan dihukum mati.

17. TUHAN berfirman, “Kesudahan orang yang menyucikan diri untuk menyembah berhala sudah dekat, iaitu mereka yang berarak ke taman-taman keramat, dan yang makan daging babi, daging tikus, serta pelbagai makanan yang najis.

18. Aku mengetahui fikiran dan perbuatan mereka. Aku datang untuk mengumpulkan semua bangsa. Apabila mereka berkumpul, mereka akan melihat kuasa-Ku,

19. dan sedar bahawa Akulah yang menghukum mereka.Tetapi Aku akan menyelamatkan sebahagian daripada mereka, dan mengirim mereka kepada bangsa-bangsa di negeri-negeri jauh, yang belum pernah mendengar tentang kemasyhuran-Ku, ataupun melihat kebesaran-Ku dan kuasa-Ku. Aku akan mengirim mereka ke Sepanyol, Libia dan Lidia dengan para pemanahnya yang cekap, dan juga ke Tubal dan Yunani. Mereka akan mengisytiharkan kebesaran-Ku antara bangsa-bangsa itu.

20. Mereka akan membawa semua orang sesama bangsa kamu pulang dari negeri-negeri itu sebagai persembahan kepada-Ku. Mereka akan mengenderai kuda, baghal, unta, kereta kuda, dan pedati ke bukit-Ku yang suci di Yerusalem, seperti orang Israel membawa bijirin di dalam bekas yang bersih ke Rumah TUHAN untuk bersyukur kepada-Ku.

21. Sebahagian daripada mereka akan Kujadikan imam dan orang Lewi.

22. Seperti langit baru dan bumi baru akan kekal kerana kuasa-Ku, demikian juga keturunan kamu dan nama kamu akan kekal.

23. Pada tiap-tiap perayaan Bulan Baru dan hari Sabat, orang dari semua negeri akan datang menyembah Aku di Yerusalem.

24. Apabila mereka pulang, mereka akan nampak mayat-mayat orang yang memberontak terhadap Aku. Ulat yang memakan mayat mereka tidak akan mati, dan api yang membakar mereka tidak akan padam. Pemandangan itu sungguh mengerikan bagi semua manusia.”

Yesaya 66