Yesaya 66:1-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. TUHAN berfirman, “Langit ialah takhta-Ku, dan bumi ialah bangku kaki untuk-Ku. Rumah apakah dapat kamu bina bagi-Ku? Tempat kediaman jenis apakah yang sesuai untuk-Ku?

2. Aku sendiri yang menciptakan alam semesta. Aku suka kepada orang yang rendah hati dan bertaubat, yang takut dan taat kepada-Ku.

3. Umat itu berbuat sesuka hati mereka. Bagi mereka tidak ada perbezaannya sama ada mereka menyembelih lembu jantan ataupun membunuh manusia untuk dipersembahkan sebagai korban, sama ada mereka mempersembahkan anak domba atau mematahkan leher anjing, sama ada mereka mempersembahkan bijirin ataupun darah babi; sama ada mereka membakar kemenyan ataupun berdoa kepada berhala. Mereka suka cara penyembahan yang menjijikkan.

4. Oleh itu Aku akan menimpakan bencana kepada mereka, iaitu bencana yang ditakuti mereka. Hal itu berlaku kerana ketika Aku memanggil, tidak seorang pun menjawab, dan ketika Aku berfirman, tidak seorang pun mendengar. Mereka memilih untuk membantah Aku dan berbuat jahat.”

5. Dengarlah firman TUHAN, hai kamu yang takut dan taat kepada-Nya: “Kerana kamu setia kepada-Ku, sebahagian daripada bangsa kamu sendiri akan membenci dan menolak kamu. Mereka akan mengolok-olok kamu dan berkata, ‘Biarlah TUHAN menunjukkan kebesaran-Nya dan menyelamatkan kamu, supaya kami nampak kamu bersukacita.’ Tetapi mereka sendirilah yang akan dipermalukan.

6. Dengarlah bunyi riuh-rendah di dalam kota. Suara dari Rumah TUHAN itu suara TUHAN yang sedang menghukum musuh-musuh-Nya.

7. Kota suci-Ku seperti seorang perempuan yang tiba-tiba melahirkan anak tanpa merasai sakit.

8. Pernahkah sesiapa melihat atau mendengar hal demikian? Pernahkah sesuatu bangsa dilahirkan dalam sehari? Sion tidak akan menderita lama lagi; bangsa itu akan segera dilahirkan.

9. Jangan sangka Aku membenarkan umat-Ku dikandung sehingga cukup bulan, lalu tidak dibenarkan lahir.” TUHAN telah berfirman.

10. Bersukacitalah bersama-sama Yerusalem,hai kamu yang mengasihi kota itu.Bersukacitalah bersama-sama Yerusalem sekarang,kamu semua yang menangisinya dahulu.

11. Kamu akan menikmati kemakmurannyaseperti bayi menikmati susu ibunya.

12. TUHAN berfirman, “Aku akan memberi kamu kemakmuran yang berterusan. Kekayaan negeri-negeri lain akan mengalir ke negerimu seperti sungai yang tidak pernah kering. Kamu akan menjadi seperti anak yang disusui oleh ibunya, yang didukung dan dikasihi.

13. Aku akan menghibur kamu di Yerusalem, seperti ibu menghibur anaknya.

14. Apabila kamu melihat kejadian itu, kamu akan bersukacita. Kamu akan berkembang subur seperti rumput. Barulah kamu tahu bahawa Aku, TUHAN menolong orang yang taat kepada-Ku, dan Aku menunjukkan kemurkaan terhadap musuh-Ku.”

15. TUHAN akan datang dengan api. Dia akan datang dengan mengenderai angin ribut untuk menghukum orang yang dimurkai-Nya.

Yesaya 66