4. Pada waktu malam mereka pergi ke gua dan kubur untuk minta nasihat arwah. Mereka makan daging babi dan minum kuah daging yang telah dipersembahkan kepada berhala.
5. Kemudian mereka berkata, ‘Jauhilah kami. Jangan sentuh kami kerana kami terlalu suci bagi kamu!’ Aku membenci orang yang berkelakuan demikian. Kemurkaan-Ku terhadap mereka seperti api yang tidak pernah padam.
6. Aku telah menentukan hukuman bagi mereka. Hukuman itu telah Kutuliskan. Aku tidak akan membiarkan perbuatan mereka. Aku akan membalas
7. dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka. Mereka telah membakar kemenyan untuk dewa-dewa di tempat pemujaan di bukit, dan menghina Aku. Oleh itu Aku akan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka.”
8. TUHAN berfirman, “Tiada sesiapa pun memusnahkan buah anggur yang baik; sebaliknya mereka membuat wain daripadanya. Aku pun tidak akan membinasakan semua umat-Ku; Aku akan menyelamatkan mereka yang mengabdikan diri kepada-Ku.
9. Aku akan memberkati umat Israel daripada suku Yehuda. Keturunan mereka akan memiliki tanah pergunungan-Ku. Umat pilihan-Ku yang mengabdikan diri kepada-Ku akan tinggal di situ.
10. Mereka akan menyembah Aku, dan akan memimpin ternak mereka ke Dataran Saron di sebelah barat, dan ke Lembah Akhor di sebelah timur.
11. Tetapi bukan begitu kesudahan kamu yang meninggalkan Aku serta tidak mempedulikan Sion, bukit-Ku yang suci, dan yang menyembah Gad dan Meni, dewa nasib dan dewa takdir.
12. Kamu akan mati dengan dahsyatnya kerana kamu tidak menjawab ketika Aku memanggil, dan kamu tidak mendengar ketika Aku berfirman. Kamu sengaja tidak mahu taat kepada-Ku dan kamu sengaja melakukan kejahatan.
13. Sesungguhnya, orang yang menyembah Aku dan taat kepada-Ku akan mendapat banyak makanan dan minuman, tetapi kamu akan lapar dan dahaga. Mereka akan gembira tetapi kamu akan dihina.
14. Mereka akan menyanyi dengan gembira, sedangkan kamu akan menangis dan putus asa.
15. Umat pilihan-Ku akan menggunakan nama kamu sebagai kutukan. Aku, TUHAN Raja akan membunuh kamu, tetapi kepada mereka yang taat kepada-Ku akan Kuberikan nama yang baru.