Yesaya 63:3-11 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. TUHAN menjawab, “Aku telah memijak bangsa-bangsa seperti orang memijak buah anggur. Tiada sesiapa antara umat-Ku menolong Aku. Aku memijak bangsa-bangsa dengan murka sehingga darah mereka mengotorkan pakaian-Ku.

4. Masa untuk menyelamatkan umat-Ku telah tiba; masa untuk menghukum musuh-musuh-Ku sudah sampai.

5. Aku hairan kerana tidak mendapati seorang pun ketika Aku mencari orang untuk menolong Aku. Tetapi kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar menjadikan Aku kuat, dan Aku menang dengan kekuatan-Ku sendiri.

6. Dengan murka Aku memijak-mijak semua bangsa dan menghancurkan mereka. Aku mencurahkan darah mereka ke tanah.”

7. Aku akan menceritakan kasih TUHAN;aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya.Dia telah memberkati umat Israel dengan berlimpah-limpahkerana rahmat-Nya dan kasih-Nya tidak berkesudahan.

8. TUHAN berfirman, “Mereka umat-Ku; mereka tidak akan menipu Aku.” Oleh itu Dia menyelamatkan mereka

9. daripada segala penderitaan. Bukan utusan ataupun malaikat, tetapi TUHAN sendiri yang menyelamatkan mereka. Demi kasih dan belas kasihan-Nya Dia menyelamatkan mereka. Sejak dahulu Dia telah memelihara umat itu,

10. tetapi mereka memberontak terhadap-Nya dan menyedihkan hati-Nya. Oleh itu TUHAN memusuhi dan melawan mereka.

11. Tetapi kemudian mereka teringat akan masa silam, iaitu zaman Musa, hamba TUHAN. Lalu mereka bertanya, “Di manakah TUHAN, yang telah menuntun umat dan para pemimpin mereka melalui laut? Di manakah TUHAN, yang telah memberikan kuasa-Nya kepada mereka?

Yesaya 63