11. Tetapi kemudian mereka teringat akan masa silam, iaitu zaman Musa, hamba TUHAN. Lalu mereka bertanya, “Di manakah TUHAN, yang telah menuntun umat dan para pemimpin mereka melalui laut? Di manakah TUHAN, yang telah memberikan kuasa-Nya kepada mereka?
12-13. Di manakah TUHAN, yang dengan kuasa-Nya telah melakukan perkara-perkara ajaib melalui Musa? Dia membelah air laut dan memimpin umat-Nya menyeberangi laut yang dalam, sehingga nama-Nya termasyhur selama-lamanya.”Seperti kuda liar mereka tidak tersandung kerana TUHAN memimpin mereka.
14. Sebagaimana ternak dipimpin ke lembah yang subur, demikian juga TUHAN memimpin umat-Nya dan memberi mereka rehat. Dia memimpin umat-Nya dan mendatangkan kehormatan bagi nama-Nya.
15. Ya TUHAN, pandanglah kami dari syurga, tempat kediaman-Mu yang suci dan mulia. Di manakah kasih dan keperkasaan-Mu? Di manakah kasih dan belas kasihan-Mu? Janganlah tahan semua itu daripada kami.
16. Engkaulah Bapa kami. Nenek moyang kami Abraham dan Yakub tidak mengenal kami, tetapi Engkaulah Bapa kami, ya TUHAN! Engkau Penyelamat kami sejak dahulu kala.
17. Tetapi sekarang mengapakah Engkau membiarkan kami sesat? Mengapakah Engkau membiarkan kami berdegil sehingga kami tidak takut akan Engkau? Kembalilah kepada kami, demi mereka yang mengabdikan diri kepada-Mu, dan demi umat yang sentiasa menjadi milik-Mu.
18. Kami umat-Mu yang suci telah diusir oleh musuh kami untuk sementara waktu. Mereka menginjak-injak Rumah-Mu,
19. dan Engkau memperlakukan kami seolah-olah Engkau tidak pernah menjadi penguasa kami, seolah-olah kami tidak pernah menjadi umat-Mu.