1. “Siapakah dia yang datang dari kota Bozra di Edom? Siapakah dia yang berpakaian merah dan berjalan dengan gagah perkasa?”“Dia TUHAN yang berkuasa untuk menyelamatkan. Dia datang untuk mengumumkan kemenangan-Nya.”
2. “Mengapakah pakaian-Nya semerah itu, seperti pakaian orang yang memijak buah anggur?”
3. TUHAN menjawab, “Aku telah memijak bangsa-bangsa seperti orang memijak buah anggur. Tiada sesiapa antara umat-Ku menolong Aku. Aku memijak bangsa-bangsa dengan murka sehingga darah mereka mengotorkan pakaian-Ku.
4. Masa untuk menyelamatkan umat-Ku telah tiba; masa untuk menghukum musuh-musuh-Ku sudah sampai.
5. Aku hairan kerana tidak mendapati seorang pun ketika Aku mencari orang untuk menolong Aku. Tetapi kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar menjadikan Aku kuat, dan Aku menang dengan kekuatan-Ku sendiri.
6. Dengan murka Aku memijak-mijak semua bangsa dan menghancurkan mereka. Aku mencurahkan darah mereka ke tanah.”
7. Aku akan menceritakan kasih TUHAN;aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya.Dia telah memberkati umat Israel dengan berlimpah-limpahkerana rahmat-Nya dan kasih-Nya tidak berkesudahan.
8. TUHAN berfirman, “Mereka umat-Ku; mereka tidak akan menipu Aku.” Oleh itu Dia menyelamatkan mereka
9. daripada segala penderitaan. Bukan utusan ataupun malaikat, tetapi TUHAN sendiri yang menyelamatkan mereka. Demi kasih dan belas kasihan-Nya Dia menyelamatkan mereka. Sejak dahulu Dia telah memelihara umat itu,
10. tetapi mereka memberontak terhadap-Nya dan menyedihkan hati-Nya. Oleh itu TUHAN memusuhi dan melawan mereka.