Yesaya 54:5-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Penciptamu seperti suami bagimu,nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa.Allah Israel, Allah yang suci ialah Penyelamat kamu,Dialah Allah penguasa seluruh dunia.

6. Hai Israel, kamu seperti seorang isteri yang muda,yang sedih kerana ditinggalkan oleh suaminya.Tetapi TUHAN memanggil kamu kembali kepada-Nya.Dia berfirman,

7. “Sebentar saja Aku telah meninggalkan kamu,tetapi dengan penuh kasih Aku akan mengambil kamu kembali.

8. Aku berpaling daripadamu sebentar saja kerana Aku sangat murka,tetapi Aku akan mengasihi kamu selama-lamanya.”Demikianlah firman TUHAN, Penyelamat kamu.

9. “Pada zaman Nuh Aku berjanjitidak akan membanjiri bumi lagi.Sekarang Aku berjanji tidak akan murka terhadapmu lagi;Aku tidak akan memarahi atau menghukum kamu.

10. Biarpun gunung dan bukit runtuh,tetapi Aku tidak akan berhenti mengasihi kamu;Aku akan menepati perjanjian damai-Ku.”Demikianlah firman TUHAN yang mengasihi kamu.

11. TUHAN berfirman,“Hai Yerusalem, kota yang menderita dan tidak berdaya,tiada sesiapa pun yang menghiburkan kamu.Aku akan membina asasmu semula dengan batu nilam.

12. Aku akan membina menaramu dengan batu delima,pintu gerbangmu dengan batu manikam merah,dan tembok di sekelilingmu dengan batu permata.

13. Aku sendiri akan mengajar pendudukmu,dan memberi mereka kemakmuran dan kedamaian.

14. Keadilan akan menguatkan kamu.Kamu akan terhindar daripada penindasan dan kengerian.

15. Jika seseorang menyerbu kamu,bukanlah Aku yang menyuruhnya;sesiapa yang menyerang kamu akan jatuh.

16. Akulah yang menciptakan tukang besi,yang menyalakan api lalu membuat senjata.Aku juga yang menciptakan askar,yang menggunakan senjata itu untuk membunuh.

17. Tetapi tiada senjata yang dapat mencederakan kamu;semua tuduhan terhadap kamu akan kamu buktikan salah.Aku akan membela hamba-hamba-Ku,serta memberi mereka kemenangan.”Demikianlah firman TUHAN.

Yesaya 54