9. Pada masa itu raja Asyur mendengar berita bahawa tentera Mesir yang dipimpin oleh Raja Tirhaka, raja Etiopia, datang untuk menyerang mereka. Apabila mendengar berita itu, raja Asyur mengirim sepucuk surat kepada Raja Hizkia,
10. di Yehuda. Demikian bunyi surat itu, “Allah yang kamu percayai telah berjanji bahawa kamu tidak akan jatuh ke dalam tangan beta, tetapi jangan ditipu oleh janji itu.
11. Kamu telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja-raja Asyur terhadap setiap negeri yang hendak dimusnahkan mereka. Jangan sangka kamu akan terlepas.
12. Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka.
13. Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?”
14. Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN, membentangkan surat itu di hadirat TUHAN
15. dan berdoa,
16. “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub, Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi.
17. Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup.
18. Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka,
19. serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa sama sekali kerana hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia.
20. Oleh itu, selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN Allah kami, supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau satu-satunya TUHAN.”
21. Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya.
22. Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib.
23. Siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci.
24. Engkau mengirim para utusan untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi, dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat.