Yesaya 28:7-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

7. Bahkan nabi dan imam pun terlalu mabuk sehingga mereka berjalan terhuyung-hayang. Mereka minum terlalu banyak wain dan arak sehingga mereka tersandung kerana kebingungan. Nabi-nabi terlalu mabuk sehingga tidak dapat memahami penglihatan yang diberikan Allah, dan imam-imam terlalu mabuk sehingga tidak dapat mengadili perkara yang dibawa kepada mereka.

8. Meja mereka penuh dengan muntah dan tiada sebahagian pun yang bersih.

9. Mereka merungut tentang aku. Kata mereka, “Pada sangkanya dia mengajar siapa? Siapakah memerlukan penjelasannya? Perkara itu hanya berfaedah bagi anak-anak yang baru cerai susu!

10. Dia hendak mengajar kita huruf demi huruf, kata demi kata, dan ayat demi ayat.”

11. Jika kamu enggan mendengarkan aku, maka Allah akan menggunakan orang bangsa asing yang berbahasa asing dan berloghat aneh untuk mengajar kamu.

12. Dia menawarkan rehat dan keselesaan kepada kamu semua, tetapi kamu tidak mahu mendengarkan Dia.

13. Itulah sebabnya TUHAN akan mengajar kamu huruf demi huruf, kata demi kata, dan ayat demi ayat. Kamu akan tersandung apabila kamu berjalan. Kamu akan luka, diperangkap, dan ditawan.

14. Sekarang dengarkanlah firman TUHAN, hai pengejek-pengejek yang memerintah penduduk Yerusalem.

15. Kamu bercakap besar bahawa kamu telah mengikat perjanjian dengan maut dan mengadakan persetujuan dengan dunia orang mati. Kamu yakin bahawa bencana tidak akan menimpa kamu kerana kamu bergantung kepada dusta dan penipuan untuk melindungi diri kamu.

16. Tetapi inilah firman TUHAN Raja, “Aku meletakkan asas yang kuat dan kukuh di Sion; sebuah batu asas yang berharga dengan tulisan berikut, ‘Sesiapa yang percaya dengan teguh tidak akan cemas.’

17. Keadilan akan Kujadikan tali pengukur, dan kejujuran Kujadikan tali unting.”Segala dusta yang menjadi pergantungan kamu akan disapu oleh hujan batu, dan perlindungan kamu akan dimusnahkan oleh air bah.

Yesaya 28