Yeremia 7:9-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Kamu mencuri, membunuh, berzina, memberi kesaksian dusta, mempersembahkan korban kepada Baal, dan menyembah dewa-dewa yang tidak pernah kamu kenal.

10. Selepas kamu lakukan semua itu, kamu datang menghadap Aku di Rumah-Ku sendiri, lalu berkata, ‘Kami aman!’ Kemudian kamu meneruskan perbuatan kamu yang keji itu.

11. Adakah kamu menyangka bahawa Rumah-Ku ini tempat persembunyian perompak? Aku telah nampak semua perbuatan kamu itu.

12. Pergilah ke Silo, kota yang mula-mula Kupilih sebagai tempat orang beribadat kepada-Ku. Lihatlah apa yang telah Kulakukan terhadap tempat itu kerana dosa umat-Ku Israel.

13. Kamu melakukan semua dosa itu; sekalipun Aku berfirman kepada kamu berkali-kali, kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mahu menyahut ketika Aku memanggil kamu.

14. Oleh itu, apa yang Kulakukan terhadap Silo akan Kulakukan terhadap Rumah-Ku ini, tempat yang kamu harapkan. Tempat yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu dan kepada kamu ini akan Kuperlakukan seperti Silo.

15. Aku akan mengusir kamu dari hadirat-Ku seperti Aku mengusir sanak keluarga kamu, orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

16. TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, jangan doakan umat ini. Jangan berseru minta tolong atau berdoa untuk mereka; jangan merayu kepada-Ku, kerana Aku tidak mahu mendengarkan engkau.

17. Engkau sendiri nampak perbuatan mereka di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan di Yerusalem!

18. Anak-anak mengumpulkan kayu api, orang lelaki menyalakan api, dan orang perempuan mencampur adunan untuk membuat kuih bagi dewi yang dinamakan mereka sebagai Ratu Syurga. Mereka juga mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain untuk menyakiti hati-Ku.

19. Tetapi sesungguhnya, bukan Aku yang disakiti mereka, melainkan diri mereka sendiri sehingga mereka dipermalukan.

20. Oleh itu Aku, TUHAN Raja akan menimpakan kemurkaan-Ku yang menyala-nyala, terhadap Rumah TUHAN, terhadap manusia dan binatang, dan juga terhadap pokok serta hasil bumi. Kemurkaan-Ku akan menyala seperti api yang tidak dapat dipadamkan.

Yeremia 7