Yeremia 52:20-34 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

20. Benda-benda gangsa yang dibuat oleh Raja Salomo untuk Rumah TUHAN, iaitu dua batang tiang, pedati-pedati, tangki yang besar dan dua belas lembu yang menunjangnya - semuanya terlalu berat untuk ditimbang.

21-22. Dua batang tiang itu sama bentuknya: setiap batang tingginya 8 meter, lingkarannya 5.3 meter dan tengah-tengahnya berongga. Gangsa tiang itu setebal 75 milimeter. Di atas setiap tiang itu ada kepala tiang setinggi 2.2 meter. Pada sekeliling kepala tiang ada anyaman gangsa, yang dihiasi buah delima daripada gangsa.

23. Pada anyaman gangsa di setiap tiang itu ada sejumlah 100 buah delima daripada gangsa; 96 daripadanya dapat dilihat dari bawah.

24. Selain itu, Nebuzaradan, panglima tentera itu, menangkap Imam Agung Seraya dan penolongnya, iaitu Imam Zefanya, dan juga tiga orang pegawai tinggi Rumah TUHAN.

25. Dari kota itu Nebuzaradan menangkap seorang panglima tentera, tujuh orang penasihat peribadi raja yang masih tinggal di kota itu, penolong panglima yang mengurus pentadbiran tentera, dan enam puluh orang pembesar lain.

26. Nebuzaradan membawa mereka kepada raja Babilonia, yang ketika itu berada di Ribla,

27. di wilayah Hamat. Di sana mereka dipukul dan kemudian dihukum mati.Demikianlah penduduk Yehuda diangkut dari negeri mereka, lalu dibuang ke negeri lain.

28. Inilah catatan bilangan orang yang ditangkap oleh Raja Nebukadnezar: Pada tahun ketujuh pemerintahannya, baginda menangkap sebanyak 3,023 orang.

29. Pada tahun kelapan belas, baginda menangkap 832 orang dari Yerusalem.

30. Pada tahun kedua puluh tiga, sebanyak 745 orang ditangkap oleh Nebuzaradan. Semuanya berjumlah 4,600 orang yang ditangkap dan dibuang negeri.

31. Pada tahun Raja Ewil-Merodakh menjadi raja Babilonia, baginda menunjukkan belas kasihan terhadap Raja Yoyakhin dari Yehuda dan membebaskan Raja Yoyakhin dari penjara. Perkara ini berlaku pada hari kedua puluh lima, bulan kedua belas, tahun ketiga puluh tujuh selepas Raja Yoyakhin ditangkap dan dibuang negeri.

32. Raja Ewil-Merodakh memperlakukan Raja Yoyakhin dengan baik, dan memberi Raja Yoyakhin kedudukan yang lebih tinggi daripada raja-raja lain yang juga dibuang ke Babilonia.

33. Raja Yoyakhin dibenarkan mengganti pakaian penjaranya, dan juga dibenarkan makan di meja raja seumur hidupnya.

34. Setiap hari, seumur hidupnya, Raja Yoyakhin diberikan elaun tetap bagi keperluannya.

Yeremia 52