Yeremia 52:12-31 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Pada hari kesepuluh, bulan kelima dalam tahun kesembilan belas pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia, Nebuzaradan, iaitu panglima tentera dan penasihat raja, masuk ke Yerusalem.

13. Dia membakar Rumah TUHAN, istana, dan rumah-rumah semua pembesar di Yerusalem;

14. askar-askarnya merobohkan tembok kota.

15. Kemudian Nebuzaradan membawa orang yang masih tinggal di kota itu ke Babilonia, iaitu tukang-tukang mahir yang masih tinggal, dan mereka yang berpihak kepada orang Babilonia.

16. Tetapi Nebuzaradan meninggalkan sebahagian daripada rakyat yang paling miskin di Yehuda, mereka yang tidak mempunyai harta. Dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggur dan di ladang-ladang.

17. Orang Babilonia menghancurkan tiang-tiang gangsa dan pedati-pedati yang di dalam Rumah TUHAN, dan juga tangki gangsa yang besar. Mereka membawa semua gangsanya ke Babel.

18. Mereka juga membawa penyodok-penyodok dan bekas-bekas abu yang digunakan untuk membersihkan mazbah, alat-alat pelita, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah daripada korban-korban yang dipersembahkan, mangkuk-mangkuk tempat membakar kemenyan, dan semua alat gangsa lain yang digunakan untuk upacara ibadat di Rumah TUHAN.

19. Mereka mengambil semua alat yang dibuat daripada emas dan perak, termasuk mangkuk-mangkuk kecil, perbaraan, mangkuk-mangkuk untuk menampung darah daripada korban-korban yang dipersembahkan, bekas-bekas abu, kaki-kaki pelita, mangkuk-mangkuk untuk kemenyan, dan mangkuk-mangkuk untuk persembahan wain.

20. Benda-benda gangsa yang dibuat oleh Raja Salomo untuk Rumah TUHAN, iaitu dua batang tiang, pedati-pedati, tangki yang besar dan dua belas lembu yang menunjangnya - semuanya terlalu berat untuk ditimbang.

21-22. Dua batang tiang itu sama bentuknya: setiap batang tingginya 8 meter, lingkarannya 5.3 meter dan tengah-tengahnya berongga. Gangsa tiang itu setebal 75 milimeter. Di atas setiap tiang itu ada kepala tiang setinggi 2.2 meter. Pada sekeliling kepala tiang ada anyaman gangsa, yang dihiasi buah delima daripada gangsa.

23. Pada anyaman gangsa di setiap tiang itu ada sejumlah 100 buah delima daripada gangsa; 96 daripadanya dapat dilihat dari bawah.

24. Selain itu, Nebuzaradan, panglima tentera itu, menangkap Imam Agung Seraya dan penolongnya, iaitu Imam Zefanya, dan juga tiga orang pegawai tinggi Rumah TUHAN.

25. Dari kota itu Nebuzaradan menangkap seorang panglima tentera, tujuh orang penasihat peribadi raja yang masih tinggal di kota itu, penolong panglima yang mengurus pentadbiran tentera, dan enam puluh orang pembesar lain.

26. Nebuzaradan membawa mereka kepada raja Babilonia, yang ketika itu berada di Ribla,

27. di wilayah Hamat. Di sana mereka dipukul dan kemudian dihukum mati.Demikianlah penduduk Yehuda diangkut dari negeri mereka, lalu dibuang ke negeri lain.

28. Inilah catatan bilangan orang yang ditangkap oleh Raja Nebukadnezar: Pada tahun ketujuh pemerintahannya, baginda menangkap sebanyak 3,023 orang.

29. Pada tahun kelapan belas, baginda menangkap 832 orang dari Yerusalem.

30. Pada tahun kedua puluh tiga, sebanyak 745 orang ditangkap oleh Nebuzaradan. Semuanya berjumlah 4,600 orang yang ditangkap dan dibuang negeri.

31. Pada tahun Raja Ewil-Merodakh menjadi raja Babilonia, baginda menunjukkan belas kasihan terhadap Raja Yoyakhin dari Yehuda dan membebaskan Raja Yoyakhin dari penjara. Perkara ini berlaku pada hari kedua puluh lima, bulan kedua belas, tahun ketiga puluh tujuh selepas Raja Yoyakhin ditangkap dan dibuang negeri.

Yeremia 52