Yeremia 51:6-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Larilah dari Babilonia! Selamatkanlah diri kamu! Jangan terbunuh kerana dosa orang Babilonia. Sekarang Aku sedang membalas dendam-Ku dan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka.

7. Dahulu Babilonia seperti cawan emas dalam tangan-Ku, dan menyebabkan semua bangsa di bumi mabuk. Bangsa-bangsa minum wain dari cawan itu sehingga mereka menjadi gila.

8. Tiba-tiba Babilonia jatuh dan musnah! Berkabunglah kerana kejatuhannya! Ubatilah luka-lukanya, dan mungkin Babilonia akan sembuh.

9. Orang bangsa asing yang tinggal di situ berkata, ‘Kami cuba menolong Babilonia, tetapi sudah terlambat. Tinggalkanlah Babilonia dan marilah pulang. Allah telah menghukum Babilonia dengan berat dan memusnahkannya sama sekali.’ ”

10. TUHAN berfirman, “Umat-Ku berseru, ‘TUHAN telah menunjukkan bahawa kita benar. Marilah kita beritahu penduduk Yerusalem apa yang telah dilakukan oleh TUHAN, Allah kita.’ ”

11. TUHAN telah menggerakkan hati raja-raja Media kerana Dia hendak memusnahkan Babilonia. Demikianlah caranya Dia membalas dendam kerana Rumah-Nya telah dimusnahkan.TUHAN memberikan perintah, “Tajamkanlah panah! Siapkanlah perisai!

12. Berikanlah isyarat untuk menyerang tembok kota Babel. Kuatkanlah pengawalan! Tugaskanlah askar-askar di tempat masing-masing! Adanglah musuh!”TUHAN telah melakukan apa yang difirmankan-Nya tentang orang Babilonia.

13. Negeri itu sangat kaya dan sungainya banyak, tetapi kesudahannya sudah tiba dan masa hidupnya sudah habis.

14. TUHAN Yang Maha Kuasa telah bersumpah demi diri-Nya sendiri bahawa Dia akan mendatangkan orang sebanyak sekawanan belalang untuk menyerang Babilonia, dan mereka akan meneriakkan sorak kemenangan.

15. TUHAN menciptakan bumi dengan kuasa-Nya;Dia menciptakan dunia dengan hikmat-Nya,dan membentangkan langit dengan pengertian-Nya.

16. Atas perintah-Nya air di atas langit menderu;Dia mendatangkan awan dari hujung bumi.Dia menyebabkan kilat memancar di dalam hujan,dan mengeluarkan angin dari tempat penyimpanan.

Yeremia 51